comscore
Tumpuan :
Politik

‘Gaji pertama saya untuk nelayan’ – Thanenthiran

Calon BN, Datuk Seri R S Thanenthiran terus giat berkempen bertemu rakyat di sekitar Nibong Tebal. – Foto: NSTP

NIBONG TEBAL: Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri R S Thanenthiran bagi Parlimen Nibong Tebal menjanjikan bantuan sekali gus RM1,000 kepada nelayan berlesen di perkampungan Sungai Udang dan Sungai Chenaam, di sini, jika dipilih menjadi wakil rakyat kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau yang juga Presiden Makkal Sakti berkata, bantuan itu akan disalurkan menggunakan gaji pertama yang diperolehnya sebagai Ahli Parlimen nanti.

Katanya, melalui tinjauan beliau sedar akan masalah yang dihadapi golongan itu dan bertekad untuk menyalurkan bantuan demi pembangunan nelayan kawasan berkenaan.

“Apabila mereka tanya boleh percaya ke sebab selalunya orang politik ini dia pandai berjanji sahaja.

“Apa yang ingin saya katakan saya adalah ahli politik yang berbeza kerana saya seorang bekas guru dan saya tidak mahu makan duit haram.

“Percayalah, ini bukan janji kosong. Sekiranya rakyat beri mandat kepada saya, saya akan laksanakan ‘one off’ (bantuan nelayan) menggunakan gaji pertama dan bukannya daripada elaun mahupun peruntukan,” katanya.

Mengenai pecutan terakhir menjelang hari pengundian Sabtu ini, Thanenthiran berkata, sambutan yang diterimanya semakin baik bahkan menyifatkan penerimaan rakyat terhadapnya amat luar biasa.

“Dahulu kawasan Nibong tebal ini dikatakan sebagai kawasan hitam UMNO dan BN tetapi selepas mengadakan pertemuan secara bersemuka dengan masyarakat tempatan, nampak kemesraan mereka (penduduk) terhadap saya.

“Penduduk sentiasa memberikan sambutan yang hangat terhadap saya. Saya janji kepada mereka yang saya akan menetap di sini jika menang bagi memudahkan mereka berjumpa saya nanti,” katanya.

Parlimen Nibong Tebal menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara Thanenthiran, Datuk Mansor Othman (PN), Fadhlina Sidek (PH) dan Goh Kheng Huat (Bebas).

Pada PRU14, kerusi berkenaan dimenangi Mansor yang ketika itu bertanding atas tiket (PH-PKR) dengan memperoleh 35,395 undi, menewaskan Datuk Shaik Hussein Mydin (BN) yang mendapat 19,578 undi, manakala Mohd Helmi Harun (PAS) dan Tan Tee Beng (Bebas) masing-masing mendapat 6,875 dan 331 undi. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini