comscore
Tumpuan :
Politik

GERAKAN tak diundang hadiri program PAS di Pulau Pinang

TASEK GELUGOR: Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, yang bertanding di kerusi DUN Bayan Lepas, didakwa diminta meninggalkan program Ceramah Mega Perikatan Nasional (PN) Best di Sungai Dua, malam tadi kerana tidak diundang menyertai program yang disertai Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang itu.

Timbalan Presiden GERAKAN, Oh Tong Keong, ketika dihubungi mengesahkan parti itu tidak diundang untuk menghadiri program Ceramah Mega PN Best berkenaan.

“Saya hanya maklum mengenai penganjuran Ceramah Mega PN Best menerusi siaran langsung di Facebook.

“Setahu saya ceramah berkenaan mungkin untuk PAS sahaja dan mungkin mereka tak undang kita kerana penganjurannya dibuat di lokasi majoriti Melayu atau hanya mahu penceramah dalam kalangan Melayu,” katanya kepada BH, hari ini.

Tong Keong berkata, hubungan GERAKAN dengan PAS Pulau Pinang dalam keadaan baik tetapi mengakui kejadian itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan akar umbi.

“Kita tak gaduh pun. GERAKAN dengan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff; Setiausaha PAS negeri, Iszuree Ibrahim dan pimpinan PAS negeri lain pun okey.

“Namun, rasa tidak puas hati dalam kalangan akar umbi masing-masing itu perkara biasalah dalam politik.

“Kerjasama serta hubungan dengan PAS dan BERSATU sebenarnya okey, tetapi sedikit tidak puas hati dalam kalangan parti komponen itu perkara biasalah,” katanya.

Ceramah Mega PN Best itu turut menampilkan Pengerusi Perhubungan BERSATU Pulau Pinang merangkap calon PN DUN Penanti, Zulkifli Bakar, selain Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad serta barisan calon yang mewakili parti itu, termasuk tiga calon Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Loading...
Terkini