comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] Gobind tolak sertai Kabinet atas pertimbangan peribadi

Gobind Singh Deo, Ahli Parlimen Damansara

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo menyatakan dirinya dipelawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyertai Kabinet Kerajaan Perpaduan, namun menolaknya atas pertimbangan sendiri.

Dalam satu kenyataan di Facebook hari ini, Ahli Parlimen Damansara itu sebaliknya menegaskan akan terus membantu Anwar serta kerajaan dalam usaha mereka memimpin negara ke tahap yang lebih baik.

“Begitu ramai yang bertanya kenapa saya tidak tersenarai dalam Kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri semalam. Anwar meminta saya menjadi sebahagian daripada Menteri Kabinetnya.

“Bagaimanapun, selepas mempertimbangkan perkara itu, saya memaklumkan kepadanya bahawa saya tidak dapat berbuat demikian dan akan memberi tumpuan terhadap peranan saya sebagai Ahli Parlimen serta membantu kerajaan dalam segala cara yang saya boleh lakukan,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) atas pelawaan yang diberikan sebelum ini.

“Saya sekali lagi menyatakan keyakinan penuh saya terhadap kepemimpinan beliau dan percaya bahawa beliau akan berjaya membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Kerajaan PH yang dipimpin bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu menamakan Gobind sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Selain Gobind, turut tidak dinamakan dalam Kabinet Anwar kali ini dan pernah memegang portfolio menteri sebelum ini adalah Pengerusi Kebangsaan DAP, yang juga Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng serta Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, M Kulasegaran.

Anwar ketika mengumumkan barisan Kabinetnya malam tadi menamakan empat wakil rakyat DAP iaitu Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook sebagai Menteri Pengangkutan, sementara Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Nga Kor Ming dilantik sebagai Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan.

Timbalan Setiausaha Agung DAP, V Sivakumar pula dilantik Menteri Sumber Manusia serta Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Hannah Yeoh memegang portfolio Menteri Belia dan Sukan. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini