comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] GPS akur nasihat Agong, pertimbang kerajaan perpaduan

 

Oleh Kadir Edison

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akur dengan nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah untuk mempertimbangkan penubuhan kerajaan perpaduan.

Pendekatan itu diambil selepas tiada parti atau gabungan yang berjaya memperoleh majoriti mudah membentuk kerajaan persekutuan untuk menjadi calon Perdana Menteri ke-10.

Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, baginda tuanku menitahkan mengapa perlunya ditubuhkan sebuah Kerajaan Perpaduan selepas tiada seorang pun calon Perdana Menteri yang dicadangkan gagal memperoleh majoriti mudah untuk dilantik ke jawatan itu.

Menurut beliau pandangan baginda akan dibawa kepimpinan GPS bagi membolehkan sebarang keputusan mengenainya dibincang dan dipertimbangkan.

“Tadi kita sudah beri taklimat kepada Premier kita dan seperti mana yang telah diputuskan melalui kenyataan sebelum ini GPS memang berhasrat dari segi sokongan ya kalau dapat menubuhkan kerajaan bersama dengan berapa parti.

“Bagaimanapun pada masa yang sama kita juga akan patuh kepada apa juga keputusan yang dibuat oleh baginda tuanku,” katanya ketika ditemui di ruang legar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Petrajaya itu menghadap Yang di-pertuan Agong bersama Setiausaha Agong PBB, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Ahli Parlimen Serian, Datuk Seri Richard Riot dan Ahli Parlimen Kanowit, Datuk Aaron Ago Dagang.

Sementara itu, Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Abang Openg yang ditemui berkata, beliau masih memantau perkembangan terkini di semenanjung Malaysia sebelum membuat sebarang kenyataan mengenainya.

“Sama-sama sik tauk kita tok… sidak agik berunding nun… agik nangga sidak ya agik berunding (kita ini sama-sama tak tau, mereka masih lagi berbincang. masih memantau mereka masih lagi berbincang), ” katanya.

Terdahulu, Datuk Seri Fadillah mengetuai empat perwakilan GPS untuk menghadap baginda tuanku sekitar jam 11.30 pagi tadi.

Loading...
Terkini