comscore
Tumpuan :
Politik

GPS serah pada Agong lantik PM

PETALING JAYA: Gabungan Parti Sarawak (GPS), menyerahkan pelantikan Perdana Menteri baharu kepada kuasa dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pejabat Premier Sarawak dalam satu kenyataan dipetik berkata, GPS telah mengemukakan cadangan untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan daripada gabungan yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), GPS dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mewakili masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

GPS ujarnya berpendirian agar mandat rakyat dihormati akibat kemelut politik yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.

“Oleh itu, GPS menyerahkan kepada kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agong mengikut kuasa yang diperuntukan kepada Baginda dalam Perlembagaan Malaysia untuk melantik Perdana Menteri yang akan mengetuai kerajaan yang kukuh untuk mentadbir negara.

“GPS menegaskan bahawa kepentingan negara adalah lebih diutamakan dan penubuhan kerajaan yang stabil mengambil kira kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan peribadi,” katanya.

Foto: NSTP

Semalam, Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata parti itu telah mengemukakan cadangan untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan bersama gabungan PN, BN dan GRS.

Bagaimanapun, Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, gabungan itu tidak pernah berunding dengan GPS mahupun PN mengenai perkara itu.

Semalam, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan PH dan BN sedang berunding untuk membentuk kerajaan pusat bersama.

Justeru, hari ini tumpuan masih terarah di Istana Negara apabila gabungan parti politik yang dipersetujui perlu mengemukakan nama seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri Ke-10 kepada Yang di-Pertuan Agong, sebelum jam 2 petang hari ini.

Saingan untuk menjadi Perdana Menteri Ke-10 terarah kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada PRU-15, PH memperoleh 82 kerusi Parlimen, manakala PN pula mendapat 73 kerusi.

Untuk menubuhkan kerajaan, sesebuah parti atau gabungan parti perlu mendapat majoriti mudah sokongan 112 Ahli Parlimen daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Loading...
Terkini