comscore
Tumpuan :
Politik

GPS Tiada Agenda Peribadi, Hanya Utamakan Rakyat Sarawak – Abang Johari

MIRI: Kerajaan dan pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) tiada agenda peribadi, tetapi hanya fokus berkhidmat untuk rakyat dan Sarawak, kata Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini.

Beliau berkata pimpinan GPS tidak seperti ahli politik parti lain yang akan sesuka hati keluar parti atau menubuhkan parti politik baharu jika kepentingan peribadi mereka tidak dituruti.

“Sesetengah individu menyertai parti politik kerana mempunyai agenda tersendiri, tetapi bagi GPS, kita ada prinsip kerana kita bekerja untuk rakyat. ‘People and Sarawak first’,” katanya pada ucaptama majlis perasmian bangunan Dewan Bandaraya Miri di sini hari ini.

Mengambil contoh pembangunan pesat dan perkembangan ekonomi di bandar raya Miri ketika ini, Abang Johari berkata itu semua adalah hasil kestabilan politik di bawah pentadbiran kerajaan GPS.

“Pengunjung dan pelabur akan berani untuk datang dan melabur di sini sekiranya bandar raya ini mempunyai prestasi dan latar belakang yang meyakinkan selain kestabilan politiknya,” katanya.

Hadir pada majlis itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang serta ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri. 

Mengulas mengenai bangunan baharu Majlis Bandaraya Miri (MBM) itu, Abang Johari berkata bangunan tersebut bakal menjadi antara mercu tanda bandar Miri yang mempunyai simboliknya yang tersendiri. 

Beliau berkata bangunan ikonik dengan reka bentuk seperti tong minyak bukan sahaja simbolik bandar raya Miri yang kaya dengan sumber minyak tetapi turut melambangkan pembangunan pesat, perpaduan rakyat serta kemakmuran di bandar raya kedua Sarawak itu. 

“Lebih menarik dan membanggakan bangunan ini telah diiktiraf dengan Indeks Bangunan Hijau (GBI), malah ini juga membuktikan kerajaan negeri mempunyai perancangan pembangunan yang teliti. Pencapaian ini selaras dengan hasrat menjadikan Miri sebagai bandar raya pintar dengan mengutamakan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Bangunan setinggi sembilan tingkat itu mula dibina pada 2018 dan siap sepenuhnya pada Oktober dengan kos lebih RM90 juta. 

Sementara itu, Adam Yii berkata MBM telah merancang fasa kedua pembangunan Dewan Bandaraya Miri melibatkan permukaan laut dan disambungkan ke bangunan utama Dewan Bandaraya Miri melalui jambatan.

Beliau berkata konsep reka bentuk keseluruhan adalah berasaskan platform pengeluaran luar pesisir dan bersama-sama dengan bangunan utama berbentuk tong minyak Dewan Bandaraya Miri, ia akan melambangkan identiti bandar itu dan asal usulnya sebagai sebuah bandar minyak. – BERNAMA 

Loading...
Terkini