comscore
Tumpuan :
Politik

GRS akur titah Agong wujud Kerajaan Perpaduan

Oleh Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akur apa jua keputusan dan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mewujudkan kerajaan perpaduan demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.

Pengerusinya yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata pihaknya turut senada dengan pendirian Gabungan Parti Sarawak (GPS) semalam mengenai perkara itu.

“Oleh itu, GRS senada dengan GPS untuk akur kepada apa saja keputusan dan nasihat Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong mewujudkan kerajaan perpaduan demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, GRS turut berpendirian bahawa adalah perlu pembentukan kerajaan Persekutuan dilaksanakan dengan segera.

“Untuk memastikan negara maju ke hadapan, kita mesti mempunyai kestabilan politik demi menjamin pembangunan ekonomi ke arah kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Semalam Naib Presiden Kanan, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof dalam pertemuannya bersama tiga lagi wakil GPS berkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Datuk Seri Fadillah berkata baginda meminta GPS mempertimbangkan cadangan pembentukan kerajaan perpaduan bagi menamatkan kemelut politik yang sedang melanda negara.

Pada pertemuan itu, baginda bertanya mengenai pendirian GPS dan turut menjelaskan kepada mereka, alasan mengapa perlu diwujudkan kerajaan perpaduan.

Pandangan baginda itu telah dibawa kepada pucuk pimpinan GPS dan Fadillah sudah memberi taklimat mengenainya kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.

Ditanya gabungan mana yang akan disertai GPS, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, berkata pihaknya kekal dengan pendirian menyokong penubuhan kerajaan bersama beberapa parti.

Namun pihaknya tetap patuh dan setuju dengan apa jua keputusan Yang di-Pertuan Agong jika baginda mahukan kerajaan perpaduan.

Loading...
Terkini