comscore
Tumpuan :
Politik

GTA pertaruh Rosli Ramli tawan kerusi Putrajaya

Foto FB Datuk Mohd Rosli Ramli

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Gerakan Tanah Air (GTA) mempertaruhkan Ahli Jawatankuasa Penajanya, Datuk Mohd Rosli Ramli bagi menawan kerusi P125 Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 PRU-15.

Surat watikah pencalonan diserahkan Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Majlis Pengumuman Calon di Pusat Konvensyen Bangi, sebentar tadi.

Datuk Mohd Rosli adalah Timbalan Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA).

Beliau dijangka berdepan pertembungan empat penjuru di antara penyandang kerusi dari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Radzi Jidin dan calon Pakatan Harapan (PH), Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz.

Sebelum ini, Tun Dr Mahathir memaklumkan GTA menggunakan logo dan bendera Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) pada PRU-15 kerana mendakwa pendaftaran gabungan itu belum diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

GTA terdiri daripada empat parti tonggak iaitu PEJUANG, BERJASA, Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), selain Gagasan Bangsa yang menghimpunkan badan-badan bukan parti politik yang turut bernaung di bawah GTA.

Pada PRU-14, Datuk Seri Tengku Adnan menang dengan majoriti 3,372 undi mengalahkan calon PAS, Zainal Abidin Kidam dan calon PKR, Datuk Dr Samsu Adabi Mamat.

Untuk rekod, Bendahari UMNO itu adalah Ahli Parlimen pertama di Putrajaya sejak kerusi berkenaan dipertandingkan pada 2004 dan berjaya mempertahankan kerusi itu buat BN selama empat penggal.

Loading...
Terkini