comscore
Tumpuan :
Politik

Guan Eng Gelar Muhyiddin ‘Abah MCO’

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, cabar Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, menunjukkan bukti yang beliau pernah menulis surat meminta EKUINAS ditutup dan peruntukan dana TERAJU dipotong. – Foto: NSTP

GEORGE TOWN: Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, percaya rakyat akan menolak Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Calon kerusi Parlimen Bagan itu berkata, Muhyiddin seolah-olah berbangga beliau melaksanakan satu demi satu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) suatu ketika dahulu, walhal tindakan itu menyusahkan rakyat dan menghancurkan ekonomi negara.

“Muhyiddin kata dia layak jadi PM (Perdana Menteri) semula, dia bangga dia buat MCO (PKP), dia ‘Bapa MCO’, ‘Abah MCO’. Adakah kita mahu seorang PM ‘Abah MCO’ sehingga rakyat susah, rakyat derita sengsara sampai kibar bendera putih?

“Saya percaya rakyat tidak mahu ‘Bapa MCO’ jadi PM semula kerana kalau berlaku apa-apa isu, dia hanya akan laksanakan MCO.

“Saya yakin rakyat akan tolak ‘Abah MCO’ kerana tak setuju cara beliau kendalikan PKP dan ekonomi negara. Takkan dia tidak tahu, keluarkan (arahan) PKP sesuka hati sehingga rakyat susah,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Sementara itu, Guan Eng turut mencabar Muhyiddin supaya menunjukkan bukti yang beliau pernah menulis surat meminta supaya Ekuiti Nasional Bhd (EKUINAS) ditutup selain memotong peruntukan dana Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), ketika menjadi Menteri Kewangan.

Muhyiddin, baru-baru ini, mendakwa DAP cuba mensabotaj agenda Bumiputera, ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara selama 22 bulan dan Guan Eng tidak memperuntukkan dana kepada Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) ketika menjadi Menteri Kewangan.

Guan Eng menegaskan, pihaknya akan mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Muhyiddin selepas PRU-15.

“PN serang saya ini memang bohong, fitnah, tapi kalau saya nak jawab, ini akan buat usaha kita tumpu masalah rakyat terpesong, jadi kita cabar mereka tunjuk bukti.

“Kita kendalikan selepas hari pengundian secara serius dan (membabitkan) guaman kalau dia (Muhyiddin) berani tunjuk bukti (tapi) dia boleh ke? Cakap kosong sahaja,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini