comscore
Tumpuan :
Politik

Guna Logo Berbeza, Bukti Parti PH, PN Tidak Sepakat

KUALA LUMPUR: Keputusan parti dalam Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) menggunakan logo parti masing-masing dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) membuktikan mereka tiada kesepakatan politik.

Dalam kenyataan di Facebook, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia juga antara anasir senyap yang membawa kepada pembentukan kerajaan tidak stabil dan caca marba.

“Tiada kesepakatan dan kebersamaan antara mereka walaupun pada perkara yang asas iaitu penggunaan logo. Jelas memberi mesej mereka ini sanggup `tidur sebantal’ demi merebut kuasa, tetapi `mimpi adalah lain-lain’.

“Pada akhirnya yang menjadi mangsa kepada ketidakstabilan ini adalah rakyat dan negara,”

Ahmad Zahid berkata, logo adalah lambang sebuah kerjasama dan kebersamaan setiap komponen parti politik yang bernaung di bawahnya.

“DAP tidak mahu menggunakan lambang PH di kawasan tertentu sebaliknya mahu menggunakan logo roket.

“Pemimpin PAS mahu gunakan logo bulan di negeri dikuasainya walau sudah mengikrarkan kesetiaan kepada PN. Tentu ramai masih ingat PKR walaupun parti komponen PH menggunakan logo sendiri dalam PRN (Pilihan Raya Negeri Johor) sebelum ini,” katanya.

PN sebelum ini memutuskan calonnya di Kelantan akan menggunakan logo PAS dalam PRU15, sementara DAP di Sarawak semalam menyatakan akan menggunakan logo sendiri iaitu roket, bukannya PH.

Beliau berkata, BN kekal memasuki PRU kelak dengan menggunakan logo dacing berwarna putih dan berlatarbelakangkan warna nila di lambang gabungan ini sejak dulu hingga kini.

“Rakyat wajar menilai perbezaan ini dalam membuat penentuan yang amat penting kepada Malaysia pada PRU15. Yakini BN satu-satunya gabungan politik menawarkan sebuah kemuafakatan serta perpaduan yang jujur dan ikhlas.

“Dunia sudah diramalkan bakal berdepan kemelesetan ekonomi global pada tahun depan.

Negara kita perlu berada dalam posisi paling kukuh dan stabil untuk mendepaninya,” katanya.

Loading...
Terkini