comscore
Tumpuan :
Politik

Hadi dakwa ada pihak tawar PAS sertai Kerajaan Perpaduan 

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR: Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa ada beberapa individu dalam kerajaan menawarkan PAS supaya menyertai Kerajaan Perpaduan.

Beliau mendakwa, sokongan PAS ditagih untuk kukuhkan kerajaan yang kekurangan wakil Melayu.

“Ada orang hubungi saya, beberapa orang ajak berjumpa dengan tawaran-tawaran supaya PAS menyertai kerajaan kerana jumlah PAS paling besar iaitu 43 kerusi.

“PKR 30 sahaja, dalam keadaan itu 19 kerusi PKR Melayu, DAP tiga orang Melayu, kerajaan didominasi oleh bukan Melayu.

“Dia nak ajak PAS tapi PAS duduk belakang bukan duduk di depan. Patutnya bila buat kerajaan, yang paling besar memimpin” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku Jejak Nabi Muhammad dan Syarahan Perdana di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) di sini, semalam.

Abdul Hadi menjelaskan, ketika ini pihaknya sememangnya terbuka dengan mana-mana tawaran oleh sesiapa pun tetapi tawaran berkenaan mesti tidak lari daripada prinsip, matlamat dan hala tuju PAS.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai penyertaan bekas setiausaha agung UMNO, Tan Sri Anuar Musa, ke dalam PAS, Abdul Hadi berkata, perkara berkenaan akan diumumkan kelak dan akan membabitkan beberapa lagi  pemimpin.

“Saya tidak boleh menyatakan perkara itu sekarang sebab mungkin sudah ada yang sertai PAS dan masih ada lagi mereka yang terikat dengan Akta Anti Lompat Parti. Mereka daripada kalangan wakil rakyat UMNO yang menang pada pilihan raya yang lalu juga ada.

“Perkara itu sudah ada dan mengikut statistik terkini sudah ada jumlah 49 kerusi di Parlimen tetapi PAS letak 43 kerusi sahaja dahulu atas sebab kekangan Akta Anti Lompat Parti yang dilaksanakan ketika ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi berkata, PAS mempunyai kaedah tersendiri bagi memilih calon  bagi bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Bagi PAS semua calon dipilih bagi menghadapi PRN kelak akan ditentukan Majlis Syura Ulama dengan mengambil kira faktor akhlak, latar belakang ilmu dan pengalaman calon.

“Calon berkenaan adalah mereka daripada dalam kalangan profesional, agamawan, pemimpin masyarakat, bekas pegawai kerajaan, bekas tentera dan banyak lagi, malah daripada unit amal pun ada dan calon yang ditampilkan kelak nanti lebih daripada layak,” katanya.

Loading...
Terkini