comscore
Tumpuan :
Politik

Hadi: Malaysia perlu teruskan sikap tegas perjuang isu umat Islam

Oleh: Juliana Sharin

SHAH ALAM: Malaysia disarankan terus mengambil sikap tegas dan berani, serta tidak memihak kepada kuasa besar.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang juga menyarankan negara terus menjuarai isu-isu umat Islam termasuk peperangan Israel-Palestin supaya Malaysia disegani di persada dunia.

Justeru Malaysia katanya perlu meletakkan keutamaan kerjasama serantau di kalangan Persatuan ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).

“Namun, hubungan dengan semua negara tidak diputuskan, mengikut kebijaksanaan agar tidak terikat dan sangat bergantung dengan kuasa besar dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Muktamar Tahunan PAS kali ke-69.

Turut hadir Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang turut mengajak semua pihak termasuk parti politik, NGO-NGO dan tokoh-tokoh masyarakat untuk memperkukuhkan perpaduan ummah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di Riyadh bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pertama ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) – Foto: Anwar Ibrahim/ Facebook

Malaysia sememangnya berpendirian tegas dalam isu Palestin.

Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim  lantang menyatakan sokongan kepada Palestin berikutan peningkatan tindakan keras Israel terhadap rakyat Palestin termasuk serangan terkini serta pertempuran di Semenanjung Gaza.

Hari ini, Anwar berada di Riyadh dan akan menyampaikan ucapan yang antaranya mengetengahkan konflik semasa Israel-Palestin pada sidang kemuncak sulung ASEAN-GCC di Hotel Ritz-Carlton.

Malaysia adalah penyelaras ASEAN bagi Sidang Kemuncak ASEAN-GCC, yang bertujuan mengoptimumkan kerjasama antara kedua-dua pertubuhan serantau itu.

Sidang kemuncak itu dijangka membincangkan konflik Israel-Palestin dan mencari jalan untuk menoktahkan penderitaan penduduk Gaza susulan tindakan ketenteraan terkini oleh rejim Zionis.

Anwar turut dijadual menghadap Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed bin Salman, dan pertemuan empat mata ini dijangka bagi membincangkan lebih lanjut isu Palestin dan hubungan dua hala Malaysia-Arab Saudi.

Loading...
Terkini