comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] Hajiji akan lancar Gagasan Rakyat, parti baharu bawah GRS

FOTO: NSTP

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, memaklumkan bakal mengetuai sebuah parti politik baharu dikenali Parti Gagasan Rakyat Sabah atau singkatannya Gagasan Rakyat.

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata, parti tempatan berkenaan bakal dilancarkan dalam masa terdekat, namun tidak menyatakan maklumat lebih terperinci mengenainya.

“Nama parti ini adalah Parti Gagasan Rakyat Sabah atau nama singkatannya Gagasan Rakyat.

“Kita akan menggunakan parti ini sebagai platform untuk meneruskan perjuangan sebagai sebuah parti tempatan dan bernaung di bawah GRS,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Konvensyen Mahasiswa GRS dan Pelancaran Sayap Pelajar GRS, di sini, hari ini.

Hajiji berkata demikian mengulas terkini mengenai parti baharu yang dinyatakan beliau sebelum ini, sejurus mengumumkan keluar daripada BERSATU pada Disember tahun lalu.

Ditanya lebih lanjut mengenai Gagasan Rakyat, Hajiji menyatakan parti itu adalah sebuah parti sedia ada namun kini sudah diambil alih oleh pihaknya.

“Ini adalah parti yang sudah sedia ada dan kita hanya ambil alih sahaja. GRS pula telah menerima keahlian parti ini sejak 9 Disember lalu.

“Dengan adanya Gagasan Rakyat, parti yang berada di bawah GRS kekal lima parti termasuklah Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO),” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini