KLUANG: MIC yakin hampir 80 peratus daripada pengundi India di DUN Mahkota akan menyokong dan mengundi calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah pada PRK, 28 September depan.
Presidennya, Tan Sri S. Vigneswaran berkata, masyarakat India di kawasan itu sejak sekian lama telah memberikan sokongan kepada BN kerana yakin dengan pimpinannya dalam berkhidmat dan menjaga kebajikan mereka.
“Sebab itu saya yakin undi kaum India ‘solid’ kepada calon BN (Syed Hussein) nanti.
Dianggarkan 8 peratus daripada 66,318 pemilih di DUN terbabit adalah daripada komuniti itu, manakala Melayu (56 peratus ), Cina (34 peratus) dan lain-lain (2 peratus).
“Saya boleh katakan lebih kurang 75-80 peratus undi pengundi kaum India di Mahkota akan berpihak kepada BN, katanya pada majlis ramah mesra bersama komuniti India DUN Mahkota, semalam.
Majlis itu turut dihadiri Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Syed Hussien.
PRK itu menyaksikan Syed Hussien berdepan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.
Pilihan raya itu diadakan susulan kematian Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman.
Pada PRN 2022, Sharifah Azizah dari BN menang dengan majoriti 5,166 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Taqiuddin Cheman, Mohamad Nor Lingan (PN) dan Mohamed Noor Suleiman (Warisan).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.