comscore
Tumpuan :
Politik

‘Hanya Empat Keluar Parti’

Datuk Syed Sobri ketika sidang media keluar dari BERSATU di Terap Inn, Kuala Nerang hari ini.

KUALA NERANG: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Padang Terap menafikan 1,000 ahlinya bertindak keluar parti, sebaliknya hanya empat ahli berdaftar berbuat demikian.

Pemangku Ketua Bahagiannya, Mohd Zharif Mohd Zohdi, berkata empat ahli berkenaan bertindak sedemikian bagi mengikut bekas Ketua Bahagian BERSATU Padang Terap, Datuk Syed Sobri Syed Hashim, yang mengumumkan keluar parti hari ini.

Beliau berkata, tindakan Syed Sobri meninggalkan parti itu sudah dijangka selain ia adalah bersifat peribadi serta tidak membabitkan kebanyakan ahli BERSATU lain.

“Semakan rekod yang dilakukan mendapati hanya empat orang saja yang benar-benar menjadi ahli parti bersama Syed Sobri.

“Keputusan meletak jawatan dan keluar parti itu juga adalah keputusan peribadi beliau sendiri dan tidak mewakili kami Ahli Jawatankuasa BERSATU Padang Terap.

“Keputusan yang dibuat itu juga sudah dijangka berdasarkan tindakannya yang lebih mengutamakan kepentingan peribadi berbanding parti,” katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu Syed Sobri yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, mengumumkan keluar parti bersama lebih 1,000 ahli BERSATU Padang Terap.

Meskipun tidak mengumumkan menyertai mana-mana parti, Syed Sobri bersama pengikutnya memaklumkan akan menyokong calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Padang Terap pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Mengulas lanjut, Mohd Zharif berkata, Syed Sobri sebenarnya sudah meletak jawatan Ketua Bahagian BERSATU Padang Terap pada 15 Oktober lalu.

Katanya sebaik beliau meletakkan jawatan, pihaknya sudah mengadakan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian dan kesemua 21 AJK tersebut kekal bersama BERSATU hingga kini.

“Jika beliau tak puas hati, sepatutnya suarakan melalui perbincangan dan perjumpaan bulanan, jadi alasan hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan adalah sesuatu yang janggal.

“Kita faham waktu ini adalah ruang berharga bagi orang politik yang ada agenda peribadi kerana ini masa yang terbaik untuk dijanjikan sesuatu, mungkin beliau ada dijanjikan sesuatu,” katanya.

Loading...
Terkini