comscore
Tumpuan :
Politik

Hapus tol, hanya janji populis – Asyraf Wajdi

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

KUALA LUMPUR: Janji Pakatan Harapan (PH) untuk menghapuskan tol Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) disifatkan hanya idea populis pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata secara asasnya ia perkara yang boleh membantu rakyat, namun untuk membelanjakan RM400 bilion bagi membayar pampasan ke atas konsesi adalah tidak praktikal.

 

“Sebab RM400 bilion itu akhirnya akan dapat dinikmati sebahagian rakyat yang menggunakan tol sahaja. Rakyat di luar bandar akan mendapat kesan yang sangat minimum.

“Sebab itulah kerajaan Barisan Nasional (BN) pada zaman Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) memulakan usaha untuk mengambil alih konsesi tol PLUS daripada pihak swasta, melalui pemilikan bersama antara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional.

“Dengan cara itu majoriti rakyat akan dapat merasai keuntungan tol ini daripada dividen KWSP mereka,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Semalam, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berjanji tol di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) akan dimansuhkan sekiranya PH diberi mandat membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, semasa menerajui kerajaan selama 22 bulan selepas menang PRU14 pada 2018, PH telah mengurangkan bayaran tol untuk lebuh raya itu sebanyak 18 peratus.

Menurut portal berita FMT yang memetik China Press, Guan Eng menegaskan PH ‘boleh memansuhkan tol’ di lebuh raya jika diberi tempoh mentadbir selama lima tahun lagi.

Guan Eng berjanji perkara yang sama pada 2017, sebelum kemenangan PH pada 9 Mei 2018 menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN). Bagaimanapun, kerajaan PH digulingkan selepas hanya 22 bulan memerintah.

Asyraf berkata, walaupun begitu, kerajaan BN juga masih berusaha menghapuskan tol secara perlahan-lahan.

“Antara 2009 hingga 2017 contohnya, terdapat 11 tol berjaya dihapuskan antaranya Metramac, Teluk Kapas, Batu 9, Batu Tiga, Sungai Rasau dan Tol Bukit Kayu Hitam.

“Begitu juga pada zaman itu kita telah berjaya membina lebuhraya tanpa tol. Antaranya, Lebuhraya Pan Borneo, Lebuhraya Central Spine Road (CSR) yang menghubungkan Kota Bharu-Pahang serta Rawang Bypass (Lebuhraya Bertingkat Rawang) yang juga adalah jambatan tertinggi di Malaysia (60 meter dari tanah).

“Lebuhraya CSR membuktikan kerajaan BN zaman Perdana Menteri Ke-lima dan Ke-enam sangat menghormati semangat federalisme dengan memberikan peruntukan setara kepada Kelantan walaupun ia diperintah pembangkang,” katanya.

Tambah beliau, tidak wujud diskriminasi seperti zaman Perdana Menteri keempat, malah Kelantan diberikan tambahan stesen projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), pembesaran lapangan terbang, Pelabuhan Tok Bali, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3, bantuan pengurusan bekalan air serta penghapusan hutang melalui pajakan aset air seperti negeri lain.

“Semua ini akhirnya mencipta peluang pekerjaan dan memberikan pendapatan kepada rakyat tanpa mengira parti.

“Lebuhraya Pan Borneo pula membuktikan keprihatinan kerajaan BN agar negeri- negeri Borneo tidak tertinggal dari segi pembangunan.
“Ini adalah ‘game changer’ besar yang akan memberi manfaat terutamanya apabila Indonesia memindahkan ibu kotanya ke Kalimantan dalam masa terdekat,” katanya.

Asyraf berkata, BN tidak pernah menjanjikan bulan bintang, tidak mampu menjanjikan dunia utopia yang serba sempurna dan tidak akan sesekali berbuat begitu.

“Kami hanya akan menjanjikan sesuatu yang praktikal, boleh dilaksana dan memberi manfaat optimum kepada rakyat,” katanya. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini