comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] Hapus tunggakan bil air antara tawaran manifesto BN-PH Kelantan

 

KOTA BHARU: Penghapusan tunggakan bil air, menurunkan caj kadar cukai tanah serta diskaun 50 peratus bayaran proses pelan dengan PBT bagi pembinaan rumah mampu milik antara 34 tawaran terkandung dalam manifesto kepada rakyat Kelantan jika BN-PH diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

 

 

Selain itu, bantuan ’one off’ RM3,000 kepada pelajar Kelantan yang menerima tawaran di institusi pengajian tinggi (IPT), bantuan RM1,000 kepada ibu bersalin anak pertama, bantuan perkahwinan RM2,000 kepada pasangan anak Kelantan, biasiswa tahunan RM300 kepada semua pelajar Tingkatan Enam serta membina sebuah Terminal Pengangkutan Awam Bersepadu atau Kelantan Sentral pada kadar segera.

 

Manifesto yang menggariskan empat teras itu diumumkan Pengerusi Parti Kerajaan Perpaduan Madani Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub di Pejabat Perhubungan Umno, di sini, hari ini.

Empat teras berkenaan membabitkan aspek syiar Islam, ekonomi, pendidikan, wanita dan orang muda serta perbadanan kemajuan Kelantan Utara.

Ahmad Jazlan berkata, tawaran berkenaan  dianggap terbaik untuk rakyat Kelantan selepas mengadakan perbincangan terperinci bersama pimpinan BN dan PH.

“Menerusi hidangan yang paling terbaik dan tidak dianggap retorik ini, saya berharap dan merayu kepada pengundi serta rakyat Kelantan supaya memberi mandat kepada kami pada 12 Ogos nanti.

“Apa yang kami janjikan ini akan dilaksanakan dengan kadar segera sekiranya diberi mandat selepas lebih tiga dekad Pas mentadbir Kelantan,” katanya.

 

Katanya kerajaan BN-PH juga akan mewujudkan sebuah kolej Universiti Tahfiz Al-Quran dan Sains Kelantan, bantuan tahunan tetap kepada Institusi Pondok dan Tahfiz berdaftar serta mewujudkan jawatan Guru Al-Quran dan Kelas Al-Quran percuma seluruh negeri itu.

Beliau turut berjanji jika diberi mandat, mereka akan mengekalkan perkara yang baik yang dilakukan kerajaan sedia ada selain menambah baik banyak perkara demi rakyat.

“Jika kita diberi mandat, kita akan mengemukakan tawaran baru selepas separuh penggal pemerintahan,” katanya.

Loading...
Terkini