comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] Hasil kerjasama BN, PH mampu menang 45 hingga 47 kerusi DUN Selangor

SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) optimis mampu menang di antara 45 hingga 47 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang di negeri itu.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata sasaran itu berdasarkan data awal pilihan raya yang diperoleh pihaknya.

“Rakyat selesa dengan Kerajaan Perpaduan kerana ada kestabilan dan pengundi di negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang adalah pengundi yang berorientasikan keadaan ekonomi negara.

“Penyokong di bandar, separa bandar sokong gabungan PH-BN kerana mahukan kestabilan dan pemulihan ekonomi,” katanya dalam satu sidang media selepas berucap di Konvensyen PKR untuk PRN Selangor di IDCC di sini, hari ini.

Untuk rekod, DUN Selangor mempunyai 56 kerusi

Rafizi berkata, sasaran itu mampu dicapai sekiranya jentera pilihan raya berkerja keras, pada PRN akan datang.

Beliau turut menjangkakan, kemungkinan PH akan hilang tujuh hingga lapan kerusi daripada 51 kerusi yang dimenangi pada PRU ke-14, iaitu ketika BERSATU menjadi sebahagian daripada PH.

Jumlah itu bergantung kepada prestasi Kerajaan Persekutuan sepanjang kira-kira empat bulan ini dan peralihan pengundi Umno kepada PH selepas menubuhkan kerajaan bersama.

“Setakat ni kalau kita tengok kepada beberapa kaji selidik yang berasingan menunjukkan bahawa pengundi PH yang menerima dengan baik gabungan ini.

“Jadi hypothetically, sepatutnya untuk mengekalkan 40 kerusi itu agak mudah kerana tanda-tandanya paling menyokong dan menerima realiti Kerajaan Perpaduan ini adalah penyokong PH terutamanya di kawasan bandar dan separuh bandar, yang faham mengenai keperluan dan dasar nak dibuat.

“Di Selangor, risiko yang kita belum tahu lagi maksudnya ketidaktentuan berapa banyak undi UMNO yang boleh dipindahkan kepada PH da berapa banyak pengundi PH itu akan menyokong PH ataupun PH-BN,” katanya.

Loading...
Terkini