comscore
Tumpuan :
Politik

Hati-hati memilih kerajaan-Tok Mat

Datuk Seri Mohamad Hasan (tengah) ditemani calon Barisan Nasional Parlimen Port Dickson, Datuk P Kamalananthan (empat dari kiri) selepas Program Sepetang Bersama Tok Mat di Sunggala Gateway. -Foto: NSTP

PORT DICKSON: Pengundi harus berhati-hati memilih kerajaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kerana ia membabitkan banyak kerugian kepada rakyat jika salah memilih.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, Barisan Nasional (BN) yakin dapat majoriti mudah bagi menubuhkan kerajaan 19 November ini tetapi jentera parti perlu terus bekerja kuat

“Keyakinan kita berdasarkan laporan jentera di setiap kawasan termasuk Port Dickson yang dulunya hitam tetapi kini kelabu putih.

“Namun begitu, kita jangan berasa selesa yang kita boleh menang PRU ini tetapi kita yakin P132 Port Dickson yang ditandingi Datuk P Kalamanathan antara penyumbang kerusi bagi membantu kita menubuhkan kerajaan,” katanya ditemui dalam program Sepetang Bersama Tokmat di sini hari ini.

Katanya, BN mahu rakyat sedar sejak PRU-14 lalu, keadaan ekonomi negara tidak menentu dan pelabur juga lari.

“Dulu Malaysia disegani negara luar tetapi sekarang tidak lagi begitu hinggakan pelabur lari menjadikan keadaan tidak menentu yang akhirnya rakyat yang susah berbanding 60 tahun BN memerintah.

“Sebelum PRU14, banyak projek pembangunan yang kita sedang rancang dan diluluskan, mereka batalkan hingga menyebabkan pelabur lari hilang keyakinan dan yang rugi adalah rakyat,” ujarnya.

Turut hadir, calon BN P132 Port Dickson, Datuk P Kalamanathan dan Ketua UMNO Bahagian Port Dickson, Datuk Mohd Faizal Ramli.

Mohamad berkata, PRU-15 adalah masa yang sesuai untuk rakyat memartabatkan BN bagi mengambil kembali kerajaan dan membela nasib rakyat.

“Ini peperangan untuk menaikkan martabat kita yang hilang dan kita yakin dapat mentadbir sendiri dengan majoriti mudah kerana kita percaya rakyat tidak rela lagi terpedaya dengan janji kosong.

“Kita dah nampak kecenderungan pengundi, dari kelabu hitam dah jadi kelabu putih tetapi dalam dua hari ini, kita perlu bekerja kuat kerana dalam politik apa saja boleh berlaku.

“Jangan pula bila saya dah kata BN boleh tubuh kerajaan, kita tak buat kerja kerana orang (parti lawan) boleh sabotaj dan akhirnya kita kalah,” katanya.

Beliau yakin pengundi muda akan memihak kepada BN seperti yang berlaku di Pilihan Raya Negeri Johor dan Melaka yang mana menyaksikan BN menang besar ketika itu.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini