comscore
Tumpuan :
Politik

Hishammuddin Beri Bayangan Pertahan Kerusi Sembrong

FOTO: NSTP

SUBANG: Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberi bayangan kekal mempertahankan kerusi Parlimen Sembrong yang disandangnya sejak empat penggal lalu, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Beliau berkata, UMNO Bahagian Sembrong sudah memberi cadangan kepada pucuk pimpinan untuk mengekalkannya pada PRU kali ini.

“Saya tidak tahu kawasan lain selain Sembrong. Setahu saya orang di Sembrong memberi cadangan nama saya kepada pucuk pimpinan, tidak ada nama lain.

“Bagaimanapun, apa sahaja boleh berlaku dalam politik. Kita harap yang terbaik dan jangkakan yang terburuk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Beret Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama Malaysian Batalion 850-10 (MALBATT 850-10) Ke Lubnan di Pangkalan Udara Subang di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affandi Buang.

Diminta mengulas langkah PKR mengumumkan calon berprofil tinggi, Hishammuddin berkata, pemilihan calon pada akhirnya akan ditentukan oleh rakyat.

“Saya tidak tahu bagaimana (ditentukan) calon berprofil tinggi. Menjadi calon ini seronok tetapi realitinya rakyat akan sokong mereka yang buat kerja,” katanya.

Semalam, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden, Rafizi Ramli, mengumumkan tujuh calon daripada kalangan profesional, agamawan dan orang muda bagi menghadapi PRU-15. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini