comscore
Tumpuan :
Nasional

Hujan ketika waktu mengundi hampir berakhir

FOTO: NSTP

KUALA KUBU BHARU: Pekan Kuala Kubu Bharu mula dibasahi hujan petang ini ketika masa pengundian berbaki 15 minit sebelum 17 pusat pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu ditutup jam 6 petang.

Menerusi kemas kini yang dikongsikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan keluar mengundi setakat jam 4 petang ialah 55.79 peratus.

Hujan mulai jam 5.45 petang, sekali gus menepati ramalan Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) yang sebelum ini meramalkan cuaca pagi cerah dan ribut petir diramalkan pada sebelah petang.

FOTO: NSTP

PRK DUN Kuala Kubu Bharu akan membabitkan 39,362 pemilih berdaftar untuk mengundi memilih wakil rakyat baharu selepas kematian penyandang kerusi DUN terbabit, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

PRK ini menyaksikan saingan empat penjuru antara calon Perikatan Nasional (PN) Khairul Azhari Saut; calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao yang mewakili Kerajaan Perpaduan; Parti Rakyat Malaysia (PRM) diwakili Hafizah Zainuddin, manakala Nyau Ke Xin mewakili Bebas.

FOTO: NSTP

Sebanyak 18 pusat mengundi dengan 74 saluran mengundi mula dibuka dari jam 8 pagi hingga 6 petang, kecuali pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) Bukit Fraser (Tapak Lama) yang mempunyai 40 orang pengundi dan ditutup 2 petang tadi.

Cuaca terik sejak pagi berubah mendung seketika pada jam 1 tengah hari tadi dan pekan Kuala Kubu Bharu dibasahi hujan kira-kira 10 minit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini