comscore
Tumpuan :
Politik

Idris Jusoh Tidak Pertahan Parlimen Besut, Beri Laluan Kepada Calon Muda

Penyandang kerusi Parlimen Besut, Tan Sri Idris Jusoh.

KUALA TERENGGANU : Penyandang kerusi Parlimen Besut, Tan Sri Idris Jusoh mengesahkan tidak bertanding mempertahankan kerusi disandangnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menurut beliau, keputusan itu dibuat bagi memberi laluan kepada calon muda untuk bertanding seiring dengan hasrat UMNO untuk meremajakan parti.

Beliau berkata, masa depan UMNO akan menjadi lebih bertenaga dan diminati ramai apabila parti dibarisi kepimpinan yang lebih muda.

“Saya sebenarnya sudah membuat keputusan untuk tidak bertanding sejak tahun 2013 bertujuan memberi laluan kepada pimpinan muda meneruskan legasi parti.

“Saya menyatakan hasrat untuk tidak bertanding kepada Presiden Umno dan Timbalan Presiden serta Setiausaha Agung, tetapi atas kehendak parti, saya akur untuk meneruskan khidmat dengan parti sekaligus bertanding pada PRU-14,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

Idris yang juga Pengerusi Felda mengesahkan turut melepaskan jawatan sebagai Ketua Bahagian UMNO Besut kepada pimpinan baru sebagai salah satu perancangan untuk berundur secara beransur dalam arena politik.

“Saya bertanding di Parlimen Besut bermula tahun 1995 dan memenangi kerusi itu ketika berusia 40 tahun.

“Pada PRU 1999, saya sekali lagi dipilih parti untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) Jertih, tetapi gagal memenangi kerusi,” katanya.

Idris sekali lagi diberi mandat untuk terus bertanding di DUN Jertih dan memenangi kerusi untuk dua penggal berturut-turut iaitu pada 2004 dan 2008, sebelum kembali bertanding di kerusi Parlimen Besut dan memenangi kerusi pada tahun 2013 dan 2018.
“Usia saya sudah hampir mencecah 67 tahun dan sudah tiba masanya untuk saya memberi laluan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pengundi dan penyokong saya dan terima kasih kepada parti yang tanpa jemu memberi kepercayaan kepada saya sehingga hari ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Idris berkata, walaupun tidak bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Besut, tetapi akan terus bekerja kuat dan membantu untuk memastikan BN terus menempa kemenangan dengan cemerlang dalam PRU-15. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini