comscore
Tumpuan :
Politik

Isham tempelak pemimpin PAS pertahan ‘sedekah’ pilihan raya

Foto: Isham Jalil

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil menempelak pemimpin PAS yang didakwa gemar menuduh orang lain terbabit rasuah tetapi pada masa sama menganggap diri bersih.

“Tanpa segan silu dan rasa malu puak-puak kamu rasuah pengundi dengan menggunakan nama Allah. Mungkin Allah SWT ingin buka dan tunjukkan kebatilan ini.

“Dan bila rakyat lapor polis dan fail petisyen ke atas rasuah kamu, kamu keluar dalil dan panggil rasuah kamu itu sedekah.

“Selepas itu puak kamu kata ia bergantung kepada niat pula, dan kononnya orang lain pun buat juga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ia dipercayai merujuk kenyataan beberapa pemimpin PAS termasuk Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khiruddin dan Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari yang mempertahankan kenyataan Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa sumbangan individu ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu sebagai sedekah.

Mengulas lanjut, Isham turut menempelak tindakan pemimpin PAS yang menuduh UMNO tiada keabsahan moral untuk persoal isu rasuah dan menuding jari serta menuduh UMNO bagi menutup tindakan rasuah mereka.

Katanya, matlamat untuk menang tidak menghalalkan cara dan biar bersusah atas landasan perjuangan yang betul dan ikhlas dari bersenang atas landasan perjuangan yang salah.

“Keberkatan dalam perjuangan dan bagaimana kita menang itu penting, bukan saja matlamat kemenangan itu sahaja. Biar kita kalah bermaruah daripada menang dengan rasuah.

“Ketika zaman Rasulullah, ada golongan yang perangainya macam puak-puak kamu ini, di luar nampak alim dan selalu mengguna agama dan menunggang ayat-ayat al-Quran tetapi di belakang buat perkara batil, mereka digelar munafik. Rasulullah benci dan memerangi orang-orang munafik,” katanya.

Beliau turut mendakwa tindakan PAS semakin terus sejak bekerjasama dengan BERSATU.

“Kamu (pemimpin) sudah selesa dan memilih jalan yang sesat. Kamu tidak lagi guna ‘tin milo’ tetapi sudah pandai duduk hotel lima bintang ketika kempen pilihan raya sehingga sudah tidak boleh membezakan antara sedekah dan rasuah.

“Usah gelap mata dengan duit. Muhasabah dan bertaubatlah sebelum terlambat. Kembalilah ke jalan yang lurus,” katanya.– BERITA HARIAN

Loading...
Terkini