comscore
Tumpuan :
Politik

Ismail Sabri ikrar kerajaan inklusif, rai perbezaan pandangan

BERA: Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob, berikrar membentuk kerajaan inklusif yang meraikan perbezaan pandangan, sekiranya diberi mandat menjadi perdana menteri sekali lagi.

“Cukuplah politik kita berpecah-belah sebelum ini,” kata Ismail, dalam menggesa pengundi memberi peluang kepada Barisan Nasional membina masa depan stabil dan makmur untuk semua lapisan rakyat pada 19 Nov ini.

Ismail, yang diangkat sebagai “poster boy” PRU-15 dan calon pilihan PM mewakili BN, berikrar terus menawarkan kepimpinan inklusif yang tidak meminggirkan sesiapa.

“Saya perdana menteri untuk semua dan akan terus menjadi perdana menteri untuk semua.

“Rakyat bebas mengundi pemimpin pilihan mereka. Sesudah pilihan raya, kita perlu bersatu hati sebagai Keluarga Malaysia.”

Ismail berkata penambahbaikan sudah dibuat bagi memastikan mekanisma semak dan imbang terus diperkasakan dalam kerajaan dan Parlimen.

Beliau berharap BN di beri mandat menubuhkan kerajaan yang merangkumi pemimpin yang ikhlas bekerjasama, demi memastikan kestabilan politik dirasai daripada awal.
“BN mempunyai kesefahaman dengan rakan-rakan kami, GRS dan GPS.

“Tidak seperti Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional, kami hormati persefahaman bahawa Sabah dan Sarawak mesti ditadbir oleh gabungan mereka sendiri,” katanya dalam temubual eksklusif bersama  FMT.

Kestabilan politik akan mengukuhkan ekonomi dan penting untuk memacu negara ke depan pasca COVID-19, katanya.

Beliau bersyukur rakyat pelbagai bangsa menerima konsep Keluarga Malaysia yang dibawa pentadbirannya.

Konsep itu, katanya, unsur penting untuk mengukuhkan perpaduan dan keharmonian.

“Akhir-akhir ini kita tidak dengar lagi polemik berkaitan isu agama dan kaum. Ini perkara paling utama di negara yang mempunyai masyarakat majmuk,” katanya.

Ismail meramalkan tahun depan sebagai amat mencabar bagi Malaysia dan negara lain, maka “kita tak boleh tersalah langkah lagi, walau siapa pun yang membentuk kerajaan.”

Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa, kegiatan ekonomi global akan semakin perlahan, sehingga mengatasi ramalan sebelum ini.

Bulan lalu, badan dunia itu melaporkan krisis kos sara hidup, keadaan kewangan semakin kritikal di kebanyakan rantau, perang Rusia-Ukraine, dan wabak Covid-19 yang berterusan memberi impak besar kepada penduduk dunia.

Pertumbuhan ekonomi global diramal menjadi perlahan kepada 2.7% pada 2023, tetapi inflasi turut dijangka menurun kepada 6.5% selepas mencapai 8.8% tahun ini.

Loading...
Terkini