comscore
Tumpuan :
Politik

Ismail Sabri tiba di Istana Negara

KUALA LUMPUR: Kereta Audi berwarna hitam membawa Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilihat masuk pintu satu Istana Negara, petang ini.

Kenderaan dinaiki bekas Perdana Menteri itu tiba pada jam 2.50 petang, diiringi kereta dan motosikal polis.

Ismail Sabri juga sempat menurunkan tingkap dan melambai kepada beberapa pengamal media yang menunggu sejak jam 9 pagi.

Terdahulu pada jam 2.26 petang, kereta Audi berwarna sama membawa Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, keluar dari pintu satu Istana Negara, diiringi motosikal dan kereta polis.

Baginda turut menurunkan tingkap dan melambai kepada pengamal media.

Ismail Sabri melambai kepada pengamal media yang menunggu di luar pintu masuk Istana negara.

Tumpuan terarah di Istana Negara apabila gabungan parti politik yang dipersetujui perlu mengemukakan nama seorang Ahli Parlimen yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri ke-10 kepada Yang di-Pertuan Agong, sebelum jam 2 petang esok.

Ia selepas Istana Negara menerima keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) daripada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh, semalam.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijangka memanggil ketua-ketua parti untuk menghadap baginda bagi mendapatkan kepastian sendiri daripada mereka mengenai pendirian gabungan blok parti.

Berdasarkan keputusan yang diumumkan SPR, Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memenangi 73 kerusi dengan jumlah keseluruhan 222 kerusi Parlimen dipertandingkan.

Sementara itu, Barisan Nasional (BN) hanya memperoleh 30 kerusi, diikuti Gabungan Parti Sarawak (GPS) (22), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (enam), Parti Warisan Sabah (WARISAN) (tiga), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (satu) dan calon Bebas (dua).

Loading...
Terkini