comscore
Tumpuan :
Politik

Ismail Sabri tidak tandatangan SD sokong Muhyiddin, Anwar

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menandatangani Surat Sumpah Berkanun (SD) sama ada menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

Sumber yang rapat dengan Naib Presiden UMNO itu berkata, Perdana Menteri berpendapat Barisan Nasional (BN) lebih baik berada di Dewan Rakyat sebagai pembangkang.

“Dalam tangkap layar perbualan yang tular semalam, ia menunjukkan Datuk Seri tidak mahu menyertai mana-mana gabungan, sama ada PN atau Pakatan Harapan (PH),” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Sebelum ini, BH diberitahu nama Perdana Menteri tidak termasuk dalam senarai 20 Ahli Parlimen BN yang menandatangani SD untuk menyokong Muhyiddin.

Terdahulu, BH difahamkan, 30 Ahli Parlimen BN dikatakan hampir mencapai kata sepakat untuk tidak menamakan mana-mana pemimpin daripada PH atau PN sebagai calon Perdana Menteri. Mereka sebaliknya bersetuju mempersembah cadangan kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini supaya fungsi kerajaan sementara yang sedang berjalan, diteruskan dalam satu tempoh tertentu sehingga sebuah kerajaan baharu dibentuk kelak.

Sumber parti itu memaklumkan, semua Ahli Parlimen BN dijadual menandatangani SD pagi ini bagi menzahirkan cadangan itu untuk dipersembah kepada agong sebelum jam 2 petang ini.

Saingan untuk menjadi Perdana Menteri Ke-10 terarah kepada Anwar dan Muhyiddin. Pada PRU-15, PH memperoleh 82 kerusi Parlimen, manakala PN pula mendapat 73 kerusi.

Untuk menubuhkan kerajaan, sesebuah parti atau gabungan parti perlu mendapat majoriti mudah sokongan 112 Ahli Parlimen daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Persoalan itu bagaimanapun akan terungkai pagi ini apabila Ahli Parlimen BN dan PH dilaporkan menghadiri majlis yang dikatakan untuk menandatangani SD menyokong Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

Kata sumber berkenaan, kesepakatan itu selepas BN tidak mempunyai jumlah Ahli Parlimen mencukupi untuk membentuk kerajaan, namun sedar suasana politik tidak menentu juga memaksa fungsi sebuah kerajaan sementara diteruskan khususnya dalam menjamin kelancaran urusan Parlimen dan pentadbiran kerajaan.

“BN tak boleh menawarkan sebarang rundingan dengan mana-mana gabungan membentuk kerajaan. BN parti yang kalah dan bilangannya kecil. Gabungan yang menang seharusnya berunding mencari jumlah sokongan dari parti lain untuk bentuk kerajaan,” katanya.

Semalam, media melaporkan, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk melanjutkan tempoh masa selama 24 jam lagi kepada parti politik untuk membentuk kerajaan yang sepatutnya sehingga jam 2 petang semalam.

Selaras lanjutan itu, parti politik memiliki lebih masa untuk merundingi pembentukan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sekali gus menamakan seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri ke-10.

Ditanya sama ada ada tempoh masa ditetapkan dalam SD bagi meneruskan cadangan fungsi kerajaan sementara, sumber berkenaan memberitahu, ia seelok-eloknya sehingga sebuah kerajaan baharu dibentuk.

Malam tadi, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan BN tiada kuasa untuk menubuhkan kerajaan, sebaliknya mencadangkan supaya PN dan PH bergabung membentuk kerajaan selepas dua parti itu memperoleh bilangan Ahli Parlimen tertinggi.

“Kami BN menerima keputusan rakyat yang menolak BN. Maka kami bersedia menjadi pembangkang yg bertanggungjawab, ‘check and balance’ kerajaan baharu.

“Bagaimanapun, jika bantuan kami diperlukan dalam waktu peralihan pasca PRU ini, kami tetap sedia menyumbang kepada pembukaan bicara yang ikhlas dan terbuka,” kata bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Timbalan Pengerusi BN.

Pertemuan Ahli Parlimen BN dan PH semalam menemui jalan buntu selepas tiada sebarang SD ditandatangani bagi menyokong pencalonan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

Ketika usaha digiatkan pemimpin tertentu dalam BN supaya gabungan PH dan BN direalisasikan, wujud protes dari kalangan Ahli Parlimen gabungan itu sendiri yang menentang usaha itu.

Selain Ismail Sabri, pemimpin lain yang dikatakan turut menentang usaha menggabungkan BN dan PN adalah Bendahari BN yang juga Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Loading...
Terkini