comscore
Tumpuan :
Politik

Isu banjir, capaian 4G misi Tengku Zafrul

KUALA SELANGOR: Isu banjir dan capaian liputan 4G antara yang akan diberi keutamaan oleh calon Parlimen Kuala Selangor BN, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk diselesaikan sekiranya mendapat mandat sebagai wakil rakyat kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Perkara itu termasuk dalam manifestonya yang menggariskan empat teras iaitu infrastruktur dan pengangkutan awam, kebajikan masyarakat, pekerjaan dan perniagaan serta pendidikan dan kemahiran.

Manifesto berkenaan membabitkan 50 inisiatif antaranya menubuhkan pasukan khas banjir dan jalan raya, mewujudkan stesen ECRL, menaik taraf infrastruktur, projek internet, pusat pelancongan serta bantuan kepada keluarga B40.

Bagi menyelesaikan isu banjir di daerah berkenaan, satu pasukan khas membabitkan agensi kerajaan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan ditubuhkan bagi menyelaraskan kerja serta peruntukan yang disalurkan.

“Sepanjang hampir tiga tahun berada dalam kerajaan (sebagai Menteri Kewangan), saya melihat banyak isu yang memerlukan kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan masalah dalam tempoh segera.

“Salah satu perkara penting adalah penyelarasan di semua pihak. Di Kuala Selangor, untuk menyelesaikan isu banjir bukan saja pihak kerajaan dan kerajaan negeri tetapi juga membabitkan agensi tertentu.

“Seperti perparitan di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) manakala saliran di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan jalan di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR). Jadi kerjasama semua itu penting untuk menyelesaikan isu,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan menyediakan peruntukan yang besar bagi Bajet 2023 dan sekiranya diluluskan di Parlimen, ia perlu disalurkan dengan segera bagi pelaksanaan terutama membabitkan pembangunan dan infrastruktur.

Beliau juga tekad untuk menyediakan perkhidmatan internet di kawasan terpencil di Kuala Selangor supaya semua lapisan masyarakat dapat menikmati jaringan komunikasi yang lebih baik.

Katanya, ia selaras dengan langkah kerajaan yang memberi tumpuan kepada penambahbaikan infrastruktur komunikasi melalui penyediaan liputan jalur lebar berkelajuan tinggi, dengan menggunakan pelbagai teknologi.

“Sepanjang berkempen, saya dapati ada kawasan yang belum mendapat liputan internet 4G. Ini juga memerlukan kerjasama kerajaan negeri dan syarikat telekomunikasi.

“Apabila ditanya, mereka memerlukan pencawang yang perlu didirikan di atas tanah kerajaan negeri. Jadi saya melihat ia boleh diselesaikan segera. Kuala Selangor di dalam negeri Selangor yang maju, sepatutnya dah ada 4G,” katanya.

Beliau juga berjanji untuk menyelesaikan beberapa isu setempat yang masih tertangguh .

Antaranya infrastruktur jalan, sekolah, jeti nelayan, ekonomi setempat, peluang pekerjaan dan pembangunan jangka panjang. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini