comscore
Tumpuan :
Politik

Isu capaian internet lemah dan talian telefon fokus utama Ramasamy

Calon BN Segamat, M Ramasamy bertemu penduduk Kampung Sepinang, Segamat

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

SEGAMAT: Isu capaian internet dan talian telefon antara perkara yang akan dijadikan tumpuan dan diselesaikan jika calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Segamat, Tan Sri M.Ramasamy diberikan mandat memenangi kerusi tersebut.

Katanya, perkara itu bukan sahaja akan memudahkan anak muda dalam pembelajaran mereka, malah pada masa yang sama, ia dapat memudahkan penduduk untuk membuat aduan jika terdapat permasalahan isu setempat.

Kata Ramasamy, beliau telah pun mula membantu kawasan yang benar-benar terjejas.

“Saya nampak di sini memang ada masalah internet. Murid-murid dan anak-anak kita susah untuk belajar. Lebih-lebih lagi sekarang semuanya atas talian. Sebab itu, kita dah mulakan untuk beri internet di mana-mana kawasan yang sesuai. Setakat hari ini, kita sudah siap di empat tempat. Sebelum pencalonan lagi saya dah datang dan pastikan ia siap,” katanya kepada Buletin TV3 selepas bersama penduduk Kampung Sepinang di Segamat untuk bersukaneka.

Selain itu katanya, beliau telah menggariskan lima aspirasi sebagai teras kempen beliau untuk Pilihan Raya Umum kali ini.

Ia termasuklah dari aspek kesejahteraan rakyat, infrastruktur, bencana, pendidikan dan ekonomi.

“Saya lihat, banjir ni dia perlu penyelesaian kekal. Dulu mereka ada buat, tapi mereka buat sikit-sikit.

“Tetapi sebab saya pemaju, saya tahu macam mana nak selesaikan benda ini. kita kena ada satu master plan. Bila ada master plan, senang untuk selesaikan masalah ini.

“Untuk golongan B40, saya akan majukan perumahan kos rendah, dalam perancangannya 260 unit.

“Saya juga nak buka banyak peluang pekerjaan. Jadi, di Parlimen Segamat, saya rancang nak bawa industry zoning. Yang ini saya sasar dalam 50 ke 100 ekar. Jika diberi mandat, selepas PRU saya akan hubungi Menteri Besar Johor untuk cuba dapatkan tanah dulu, lepas tu saya cuba bawa pelaburan asing, atau tempatan.

Selain itu, beliau juga ingin menambah baik klinik kesihatan, selain turut menambah baik bisnes dan sektor ekonomi.

“Saya akan tengok macam mana cara untuk tolong mereka. Sebab saya pemaju dan ahli korporat, saya tahu bagaimana nak naik taraf ekonomi di kawasan ini,” katanya.

Bagi calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Segamat, Datuk Seri Poobalan Ponnusamy isu itu juga merupakan sebahagian daripada manifesto yang dibawanya ketika berkempen selain beberapa lagi kemudahan yang diperlukan penduduk.

“Sekarang zaman moden, semua orang lebih-lebih lagi anak muda guna internet. Belajar juga semua guna internet dan telefon pintar. Tapi kebanyakkan tempat takde line, sebelah sahaja ada. Jadi yang ini agak serius juga lah sebab dari sekolah ke universiti semua guna sistem dalam talian, jadi saya kena amik serius perkara ini.” katanya.

Bagi penduduk pula, mereka berharap calon wakil rakyat yang dipilih dapat menyelesaikan isu yang sudah membelenggu mereka sejak bertahun lamanya.

“Memang masalah untuk yang ada anak di sini, macam internet tiada line, rumah saya di hujung jalan pun tiada talian. Bila hujan, langsung tidak dapat. Bila anak call memang tak dapat, kadang-kadang bila bercakap pun tak jelas,” kata Rubiah Mamat.

“Kita nak pemimpin yang prihatin kepada masyarakat terutama yang ada di kampung ini. Mereka ini anak ramai yang masih bersekolah. Internet tiada, wifi tiada, jadi susah mereka nak belajar,” kata seorang lagi penduduk, Ayub Abd Ghani.

Loading...
Terkini