comscore
Tumpuan :
Politik

Isu seleweng dana RM600 bilion, PN lapor polis terhadap PM

Wan Ahmad Fayhsal menunjukkan salinan laporan polis terhadap Perdana Menteri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyifatkan tuduhan mengaitkan parti itu dengan pembiayaan daripada syarikat judi bertujuan untuk memusnahkan kredibiliti setiap Ahli Parlimen PN.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, PN tidak akan melindungi tindakan yang salah dan mengalu-alukan setiap siasatan yang ingin dilakukan pihak berkuasa.

“Saya sebagai seorang Ahli Parlimen menafikan sekeras-kerasnya tuduhan bahawa kita menerima dana daripada syarikat judi.

“Ini adalah permainan politik untuk membina persepsi seolah-olah kami menerima dana syarikat judi. Namun saya yakin rakyat tidak akan termakan dengan fitnah ini kerana kepimpinan tertinggi PN termasuk Datuk Seri Hamzah Zainudin, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri sudah memberi kenyataan dan tiada apa yang boleh diselindungkan.

“Bukan sahaja mengenai judi tetapi isu dana RM600 bilion juga satu fitnah serta tohmahan yang serius,” katanya selepas membuat laporan bersama Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) di Balai Polis Dang Wangi, di sini, berhubung dakwaan terbabit.

Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media di pejabatnya di Putrajaya membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian yang terbabit dengan syarikat judi.

Bagaimanapun Muhyiddin kelmarin menyifatkan tuduhan Anwar bahawa PN menerima pembiayaan daripada syarikat judi untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sebagai serius.

Menepis dakwaan itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata, tuduhan Anwar tidak disokong bukti kukuh selain sekadar andaian yang dibuat berdasarkan kempen meluas PN ketika PRU-15.

Ditanya mengenai senarai dana, Wan Ahmad Fayhsal berkata, setakat ini PN tidak akan mendedahkan dana itu memandangkan tiada satu pun parti yang bertanding dalam PRU-15 berbuat demikian.

“Bagaimanapun kita terbuka mengenai akta pendanaan politik jika ia dibentangkan di Parlimen dan jika ia menjadi perkara utama, saya sendiri akan sahut.

“Ia sepatutnya sudah diselesaikan sewaktu kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tetapi tidak sempat,” katanya.

Loading...
Terkini