comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] Isytihar harta tidak wajib, atas kehendak sendiri- PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap ketika majlis perasmian Karnival Keluarga Malaysia: Anak Muda Gegor Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera. Foto: NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

BERA: Pengisytiharan harta bukan sesuatu yang wajib bagi Ahli Parlimen sebaliknya ia dibuat atas kerelaan sendiri, kata Perdana Menteri.

Menurut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, setakat ini tiada syarat mewajibkan mana-mana calon yang bertanding bagi kerusi Parlimen mahu pun Dewan Undangan Negeri (DUN) mengisytiharkan harta.

Jelasnya, kini hanya Menteri dan Timbalan Menteri yang dilantik diwajibkan untuk mengisytiharkan harta mereka.

“Tidak perlu (isytihar harta) kerana kita hanya buat perkara yang termaktub dalam akta.

“Apabila dah menang nanti Ahli Parlimen juga diminta untuk isytihar harta dulu tapi tidak semua mengisytiharkan harta kerana tiada keperluan.

“Ahli Parlimen boleh berniaga tetapi menteri, timbalan menteri wajib isytiharkan harta,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Keluarga Malaysia: Anak Muda Gegor Bera di Dewan Konvensyen Bera, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Calon Pakatan Harapan (PH) untuk parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata semua calon yang bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diwajibkan mengisytihar harta.

Rafizi turut menjadi tumpuan umum selepas mengisytiharkan harta sebanyak RM18.85 juta.

Ismail Sabri berkata, apa yang dilakukan Rafizi adalah keputusannya sendiri dan akan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Malah, katanya, Rafizi mungkin akan disiasat mengikut Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Amla) susulan pengisytiharan harta yang dibuat.

“Ada yang menjadikan isu ini sebagai modal politik untuk menjadi perangkap kepada mereka yang tidak turut berbuat perkara sama,” katanya.

Loading...
Terkini