comscore
Tumpuan :
Politik

”Jaga Saja Gombak, Tak Payah Sibuk Cabar Orang Lain” – Anwar

SUBANG JAYA : Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diyakini berdepan tugas sukar mempertahankan kerusi disandangnya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Justeru, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meminta Azmin menumpukan kepada usaha menjaga kawasannya itu berbanding sibuk mencabar pihak lain untuk bertanding di kerusi Parlimen Gombak.

“Sibuk dengan dia apa pasal?

Dia jaga kawasan dia, tidak mudah bagi dia (mempertahankan kerusi Parlimen Gombak),” katanya ringkas ketika ditemui selepas majlis pelancaran buku SCRIPT – For A Better Malaysia, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Azmin hari ini yang mencabar Anwar bertanding di Parlimen Gombak pada PRU-15.

“Ada orang nak datang Gombak, silakan.

Saya anak jantan.

Nak hantar isteri boleh, anak pun boleh.

Kalau berani hantar diri sendiri,” kata Azmin yang juga bekas Timbalan Presiden PKR dalam ucapan perasmian jentera pilihan raya BERSATU di Shah Alam.

Azmin merujuk kenyataan Anwar sebelum ini yang memberi bayangan tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Port Dickson pada PRU15, sebaliknya mahu bertanding di kerusi Parlimen yang disandang ‘pengkhianat’ PKR dan Pakatan Harapan (PH).

Ketika berucap pada program Sembang Kencang KLS @ Anwar Ibrahim anjuran Kelab Wartawan Kuala Lumpur & Selangor (KLS), Presiden PKR itu tidak menolak kemungkinan bertanding di Parlimen Gombak sekiranya PKR memutuskan demikian.

Sebelum ini, Azmin yang bertanding di Parlimen Gombak atas tiket PKR pada PRU-14, keluar parti dan menyertai BERSATU.

Turut mengikut jejak Azmin ialah bekas Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin (Ampang), Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).–BERITA HARIAN

Loading...
Terkini