comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] ‘Jangan derhaka walau tidak suka’ – Zahid

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR: Semua pihak diminta untuk tidak menderhaka walaupun tidak suka atau kecewa dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata semua pihak perlu menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong untuk penubuhan Kerajaan Perpaduan.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada penyokong yang memberi sokongan kepadanya.

“Terima kasih atas sokongan padu penyokong yang menzahirkan dokongan mereka sebentar tadi. Kekal tenang dan mari kita bina kembali Malaysia demi kebaikan semua agama dan bangsa, demi anak cucu keturunan kita.

“Kita menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk Kerajaan Perpaduan.

Jangan derhaka sedikit pun walau tidak suka dan kecewa dengan keputusan yang dibuat oleh Tuanku,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Puluhan ahli Kelab Penyokong Presiden UMNO, bersolidariti di hadapan di pintu masuk Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini bagi menyatakan sokongan kepada Ahmad Zahid.

Pengerusi Kelab Penyokong Presiden Umno, Datuk Dr Ramalan Yunus berkata, UMNO secara majoritinya menyokong sepenuhnya titah Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

Kekalahan besar BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 menyaksikan beberapa pihak termasuk pemimpin parti komponen BN mendesak supaya Ahmad Zahid bertanggungjawab dengan meletak jawatan.

Kemelut politik yang berlanjutan beberapa hari selepas berakhir PRU-15 menyaksikan Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Pelantikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Presiden PKR itu diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara, pagi tadi.

Loading...
Terkini