comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] Jangan diskriminasi Negeri Kedah – Sanusi

Oleh: Kumaran Rajamoney

KULIM: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengingatkan kerajaan persekutuan untuk tidak mendiskriminasi negeri Kedah, hanya kerana ianya negeri pembangkang.

Setiap rakyat katanya mempunyai hak yang saksama dan terjamin di bawah perlembagaan dan tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak terutamanya pemerintah.

 

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah mengingatkan kemenangan parti itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) bagi kerusi Parlimen Padang Serai adalah “signal” penting dari rakyat dan perlu diambil serius oleh kerajaan persekutuan.

“Kerajaan negeri akan masih berhubung dengan kerajaan persekutian melalui agensi dan jabatan. Saya telah mewujudkan satu unit dibawah Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN) untuk membolehkan ahli parlimen dilibatkan dalam membawa suara Kedah di Parlimen.”

“Ahli Parlimen ini akan diberikan tugas mengikut kluster meskipun mereka duduk di blok pembangkang. Ahad ini saya akan mengadakan pertemuan dengan mereka bagi memperincikan peranan mereka dalam memastikan agenda pembangunan negeri tetap diteruskan,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata demikian mengulas kemenangan PN di Parlimen Padang Serai pada PRU Ke-15, menjadikannya kerusi ke 14 dimenangi parti itu di Kedah.

Kedah mempunyai 15 kerusi Parlimen, dengan Pakatan Harapan (PH) memenangi satu kerusi iaitu Parlimen Sungai Petani.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi yakin sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan serentak pada PRU lalu, PN akan mampu menyapu bersih kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan.

PRN Kedah katanya akan dijangka diadakan dalam masa diantara pertengahan Mac hingga Julai 2023.

“Kejayaan ini adalah kerana kepimpinan di Kedah menumpukan soal berkhidmat kepada Kedah. Kita tidak mempunyai sentimen balas dendam.

“Hubungan kita dengan pegawai dan agensi sangat baik menjadikan politik di Kedah ini harmoni. Itu adalah resepi kejayaan. Kita tidak menjadi orang lain, sebaliknya menjadi diri sendiri,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman kemenangan calon PN, Datuk Azman Nasrudin bagi Parlimen Padang Serai di sini, malam tadi.

Datuk Azman yang berhadapan pertembungan enam penjuru memperoleh 51,637 undi meninggalkan calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak 35,377 undi dengan majoriti 16,260 undi.


Loading...
Terkini