SEREMBAN: Pengundi di enam negeri diingatkan untuk membuat keputusan bijak dengan memilih kerajaan yang boleh membawa pembangunan dan kesejahteraan.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata mereka tidak boleh membuat keputusan memilih berdasarkan sentimen kerana ia boleh memberi impak tidak baik kepada negara.
“Pengundi perlu membuat keputusan bijak, jangan ikut sentimen kerana ia boleh merugikan.
“Memang ia satu perkara yang mudah dilakukan, tetapi beri kesan kepada negara berbilang kaum ini.
“Saya berharap semua pihak dapat berkempen secara sihat dan rasional iaitu menonjolkan kewibawaan kita, bukannya seperti mencurahkan minyak ke dalam api,” katanya selepas Program Pemimpin Bersama Masyarakat di Dewan Terbuka Bola Keranjang Kuala Sawah Rantau, dekat sini, petang ini.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO dan calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau berkata, rakyat harus memilih parti yang boleh memberi banyak manfaat kepada mereka.
Justeru, katanya, kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN harus diberi peluang meneruskan pentadbiran di Negeri Sembilan supaya pembangunan dapat diteruskan untuk kepentingan rakyat negeri ini.
“Negeri Sembilan mesti kerajaan yang sama dengan Kerajaan Persekutuan kerana negeri ini ada potensi membangun terutama dari segi meningkatkan kemudahan prasarana.
“Misalnya untuk membina hospital atau kemudahan lain memerlukan sokongan Kerajaan Pusat.
“Pembinaan Hospital Rembau memerlukan kos RM140 juta yang dibiayai Kerajaan Pusat dan ia penting untuk pastikan bantuan seperti ini dapat diteruskan,” katanya.
Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau dan Pengarah Pilihan Raya BN yakin gabungan itu dapat menguasai, sekali gus mempertahankan tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang pada PRN ini.
Katanya, ia berdasarkan sambutan dan sokongan padu rakyat di tiga negeri itu terhadap kempen diadakan.
“Strategi kita ialah mempertahankan tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang serta berusaha mendapatkan Kedah, Kelantan dan Terengganu,” katanya.
Mohamad berkata, adalah tidak salah untuk mencuba mendapatkan tiga negeri itu yang sebelum ini ditadbir Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, setiap pilihan raya adalah berbeza dan ia sama seperti permainan bola sepak.
“Boleh jadi kita dapat penalti di akhir masa. Di Kedah kita dapat penalti, di Terengganu dan di Kelantan juga kita dapat penalti dan melaluinya mungkin kita boleh menang, yang penting kita cuba,” katanya.