KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani menegur Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), supaya tidak memilih-milih angka ekonomi untuk mencantikkan prestasi pentadbiran lepas.
Beliau menggesa pembangkang supaya lebih bertanggungjawab apabila bercakap soal ekonomi memandangkan tidak semua rakyat arif tentangnya.
Johari ketika menjawab perbahasan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin di Dewan Rakyat hari ini, berkata perkembangan ekonomi Malaysia pada 2021 tidak mengatasi penguncupan yang dialami pada 2020, tidak sepertimana Singapura dan Indonesia.
Bekas menteri kewangan II itu menjelaskan Singapura dan Indonesia masing-masing menguncup 4.1 dan 2.1 peratus pada 2020, namun melantun kepada 7.6 dan 3.7 peratus pada 2021.
Malaysia bagaimanapun hanya berkembang 3.1 peratus pada 2021, berbanding penguncupan 5.5 peratus pada 2020.
“Tidak cukup untuk cover penguncupan yang berlaku pada 2020,” katanya.
Johari juga meminta pembangkang supaya melihat ekonomi secara mutlak apabila mahu bercakap tentangnya.
“Ekonomi ini rakyat biasa dia tak berapa faham. Jadi apabila kita membentangkan sebagai Ahli Parlimen, kita mesti bertanggungjawab.
“Apabila kita cerita pasal soal ekonomi kita kena tengok angka-angka ini secara keseluruhan, bukan ‘pick and choose’ (memilih-milih),” tegasnya.
Terdahulu, Hamzah ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 mendakwa kerangka yang disusun “dengan baik dan rapi” oleh pentadbiran PN membawa kepada kejayaan ekonomi negara hari ini, sambil memetik perkembangan 8.7 peratus pada 2022.
Angka itu merupakan pertumbuhan paling tinggi dalam tempoh 22 tahun sejak 2000, sekali gus pencapaian terbaik dalam kalangan negara Asia Tenggara.