comscore
Tumpuan :
Politik

‘Jangan Salah Pilih Lagi’ lagu rasmi kempen BN

MELAKA: Lagu berjudul ‘Jangan Salah Pilih Lagi’ dijadikan lagu rasmi kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Perkara itu diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika berucap pada Sesi Perjumpaan Bersama Jentera BN Hang Tuah Jaya (HTJ) di Pejabat UMNO HTJ, Bukit Katil, petang tadi.

“Saya sudah dengar lagu ini di Masjid Tanah tadi dan dengan ini, mengumumkan ia adalah lagu rasmi yang akan digunakan di seluruh negara,” katanya, yang turut menyanyikan lagu berkenaan bersama hadirin.

Difahamkan, lagu itu hasil ciptaan penyanyi terkenal era 1980-an, Datuk Syed Sobrie Syed Kechik.

Lirik lagu itu antara lain mengingatkan pengundi supaya bijak, sabar dan berhati-hati dalam membuat pilihan pada hari pengundian, 19 November ini.

Pengundi juga diseru kembali memilih BN demi memastikan kestabilan dan kemakmuran negara.

Terdahulu, Ahmad Zahid tiba di pekarangan Pejabat Bangunan UMNO Bukit Katil, kira-kira jam 5.15 petang diiringi Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan calon Parlimen HTJ, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini