Tumpuan :
Nasional

‘Jangan tertipu propaganda keputusan PRN boleh tukar Kerajaan Persekutuan’ – Johari

KUALA LUMPUR: Rakyat dinasihatkan supaya tidak tertipu dengan propaganda dimainkan Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa kononnya keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) boleh membawa perubahan di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata perubahan tampuk kepemimpinan di peringkat persekutuan tidak mungkin berlaku menerusi PRN kerana pilihan raya ketika ini hanya menentukan pihak yang akan memerintah enam negeri untuk lima tahun akan datang.

Beliau menegaskan alasan kononnya PRN kali ini perlu dijadikan referendum rakyat kepada Kerajaan Persekutuan juga tidak wajar memandangkan Kerajaan Perpaduan baru mentadbir selama kira-kira lapan bulan.

“Macam mana kita nak buat referendum sedangkan Kerajaan Persekutuan baru lapan bulan. Kalau nak buat referendum, tunggu pada 2027 nanti iaitu Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Kalau setiap lapan, sembilan bulan kita nak buat referendum, adakah kita yakin bahawa referendum itu boleh selesaikan semua masalah?.

“Jadi jangan tertipu dengan propaganda bahawa keputusan PRN ini boleh tukar Kerajaan Persekutuan. Itu tak mungkin bagi saya sebab kita ada proses untuk menukar kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual Soal Rakyat Khas PRN 2023 yang disiarkan secara langsung di TV3 dan dihoskan Mior Abdul Malek Raiyani.

Mengulas lanjut, Johari menegaskan pertukaran kepemimpinan di peringkat persekutuan sukar untuk berlaku kerana Kerajaan Perpaduan berada dalam keadaan stabil dengan sokongan 148 Ahli Parlimen.
Selain itu, katanya, Akta Anti Lompat Parti sudah berkuat kuasa ketika ini, yang menyekat mana-mana Ahli Parlimen untuk bertukar parti dengan sewenang-wenangnya.

“Jumlah sokongan 148 ini adalah cukup kukuh untuk kerajaan ini mengendalikan ekonomi bagi tempoh lima hingga 10 tahun akan datang,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai mengenai kesan pertukaran kerajaan dalam tempoh singkat seperti yang berlaku selepas PRU14, apabila kerajaan yang menang pilihan raya itu pada 2018 bertukar kepemimpinan selepas 22 bulan, disusuli pertukaran Perdana Menteri seterusnya selepas 17 bulan.

“Kita kena fikir soal negara. Kalau fikir soal politik, tak habis. Lepas enam negeri ini, satu setengah tahun lagi ada PRN Sabah, kemudian PRN Sarawak, selepas itu PRN Melaka dan PRN Johor, dan kemudian PRU16 pula. Bila kita nak cerita soal bangunkan negara?.

“Sebab itu soal mana-mana pemimpin nak buat propaganda untuk menakut-nakutkan atau beri harapan kononnya dengan menukar (kerajaan) ini membawa kebaikan, ia tak boleh sebab nak urus ekonomi ini mengambil masa,” katanya.

Pada masa sama, Johari yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan mengingatkan pembangkang untuk tidak bergantung pada propaganda semata-mata bagi meraih kemenangan dalam pilihan raya.

“Kita tak boleh berpolitik hanya menggunakan propaganda dan selepas itu harap akan menang kerana kalau pengundi termakan sekali pun, kamu tak mampu nak memerintah dengan baik,” katanya.

Loading...
Terkini