comscore
Tumpuan :
Politik

“Jangan tutup bilik gerakan” – Annuar Musa

KOTA BAHRU: “Pesan (saya) pada semua petugas pilihan raya supaya jangan gelabah, jangan tutup bilik gerakan dan jangan cepat patah semangat… Kita ikuti perkembangan (politik) dengan sabar dan tabah.

Itu nasihat diberikan penyandang Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menerusi kenyataannya di Facebook hari ini.

Beliau menasihatkan elakkan perpecahan dalam parti dan setiap tindakan perlu difikir panjang.

“Setiap perbuatan, mesti didahulukan dengan berfikir panjang. Kita ikuti perkembangan dengan tenang dan jangan lebarkan perpecahan, terutama dalam kalangan rakan seperjuangan dan umat Islam.

“Ada kala kita disalahertikan, ada kala kita difitnah dengan fitnah yang memilukan. Namun, kekalahan pada kebenaran dan kejujuran. InsyaAllah ada hikmah di belakang dan ganjaran di hari kemudian,” katanya menerusi kenyataan dimuat naik di Facebooknya hari ini.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Kelantan, Marzuani Ardila Ariffin bertanya kepada beliau apa yang harus dibuat kerana perlu mengisi borang pencalonan hari ini.

“Jawapan saya konsisten… teruskanlah seperti biasa. Beliau nak jumpa saya pagi ini, saya katakan ‘sempurnakan semua urusan dulu’.

“Sewaktu dipanggil ke majlis pengumuman di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) pun sama. Beliau minta keputusan saya dan jawapan saya sama juga…. Pergilah dan terimalah. Alhamdulillah Ketereh tenang.

“Salam persahabatan dan sama jaga ukhwah sesama Islam,” katanya.

Terdahulu, empat menteri Kabinet Barisan Nasional (BN) di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digugurkan sebagai calon PRU-15.

Selain Annuar, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (Arau); Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba (Tenggara) dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi) turut digugurkan.

Loading...
Terkini