comscore
Tumpuan :
Politik

‘Jawatan TPM bukan perkara utama, gabungan ini demi rakyat’

Oleh Kadir Edison

KUCHING: Keputusan Gabungan Parti Sarawak (GPS) membentuk Kerajaan Persekutuan melalui gabungan dengan Perikatan Nasional (PN) , Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bukan kerana tawaran untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keputusan itu dibuat demi untuk mengukuhkan dan menstabilkan negara serta kesejahteraan rakyat.

“Itu kemudian, bukan tawar menawar, rakyat lebih penting, negara lebih penting. Kita sudah adakan pilihanan raya dan rakyat sudah beri mandat.

“Sekarang ini kerja kita menubuhkan kerajaan berasaskan pada mandat yang kita terima itu, ” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pra-DUN di Ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu di Kuching.

Tambahnya, menghormati mandat yang telah diberikan oleh rakyat serta membentuk sebuah kerajaan persekutuan yang stabil menjadi keutamaan GPS bersetuju dengan kerjasama membentuk gabungan empat parti terbabit.

Menurut Tan Sri Abang Johari, semua ahli Parlimen dari GPS bersetuju untuk menamakan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Calon Perdana Menteri pada pertemuan dengan Yang Dipertuan Agong petang esok.

Terdahulu, Tan Sri Abang Johari sempat mengadakan pertemuan dengan Pengerusi PN itu di kediamannya di Kuala Lumpur bagi membincangkan mengenai kerjasama untuk membentuk gaabungan yang stabil bagi menubuhkan kerajaan persekutuan.

GPS memenangi 22 kerusi parlimen, manakala PN memenangi 73 kerusi parlimen, GRS 6 kerusi parlimen dan BN 30 kerusi parlimen, menjadikan keseluruhan jumlah kerusi daripada empat gabungan itu berjumlah 131 kerusi mengatasi 82 kerusi di menangi oleh Pakatan Harapan (PH).

Loading...
Terkini