comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] Johari mahu jadi orang tengah selesaikan isu Pasar Keramat

KUALA LUMPUR: Kemelut pembangunan semula infrastruktur Pasar Keramat di sini, yang berusia lebih 40 tahun boleh diselesaikan jika Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak pemaju mencapai kata sepakat dengan situasi menang-menang.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pasar berkenaan perlu segera dibangunkan semula berikutan ia berpotensi besar dan menjadi nadi kepada penduduk kawasan Datuk Keramat dan periuk nasi kepada 334 peniaga.

“Saya difahamkan tanah ini dijual DBKL kepada pemaju enam tahun lalu tetapi pemaju tidak boleh laksanakan pembangunan, tidak tahu kenapa adakah masalah kedudukan kewangan atau mereka tidak tahu hendak buat apa (perancangan pembangunan).

“Malah, DBKL masih tidak menerima wang penjualan tanah sepenuhnya hanya dapat kutip beberapa peratusan saja.

“Pasar ini berpotensi besar kerana pengunjung ramai serta berdekatan dengan akses jaringan pengangkutan seperti perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), malah penduduk setempat juga boleh berjalan kaki ke tempat ini tetapi sayang infrastruktur yang tidak sempurna seperti masalah pendawaian elektrik, tandas dan jalan berlopak serta jika ada kebakaran tiada pihak dapat selesaikan hingga menyebabkan peniaga terjejas.

“Justeru, penting kawasan ini dibangunkan semula dan saya akan jadi pengantara antara persatuan peniaga dan penjaja, pemaju dan DBKL jika diberi peluang sekali lagi menjadi wakil rakyat untuk mendapatkan situasi menang-menang,” katanya selepas walkabout di Pasar Keramat di sini, hari ini.

Sementara itu, peniaga sayur Haslina Buyung, 43, yang berniaga di pasar itu sejak 20 tahun lalu berkata, mereka mahukan pembaharuan berikutan pasar berkenaan sudah daif.

“Kami suka berniaga di sini kerana lebih mudah akses keluar masuk dan memunggah barang berbanding di Mini Pusat Transformasi Bandar (UTC) Keramat ruangnya sempit, pasar di tingkat tiga dan masalah parkir terhad.

“Cuma isu pasar ini sudah terlalu daif dan keadaannya tidak selesa dan tidak sesuai dengan keadaan sekarang.

“Kami harapkan wakil rakyat selepas ini dapat membantu mempercepatkan proses menaik taraf pasar ini supaya peniaga dan pelanggan di sini lebih selesa,” katanya.

Peniaga ikan, Ali Man, 51, berkata, keadaan pasar daif itu turut mempengaruhi pendapatannya berikutan kurang pelanggan.

“Dulu saya meniaga sini hari biasa pendapatan saya kira-kira RM2,000 sehari manakala Sabtu dan Ahad mencecah RM5,000 tetapi sekarang hendak dapat RM1,000 sehari pun susah.

“Mungkin keadaan pasar ini yang selain masalah parkir menyebabkan pengunjung semakin berkurangan,” katanya.

Loading...
Terkini