comscore
Tumpuan :
Politik

Johor Mungkin Tampil 70% Calon Muka Baharu Pada PRU-15.

Oleh : Zahir Senapiah

Mersing : Johor tidak menolak kemungkinan akan menyenaraikan 70 peratus calon daripada Umno dan Barisan Nasional BN, terdiri daripada muka baharu bagi pilihan raya umum, PRU-15.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perubahan itu pada pandangannya amat wajar bagi memastikan BN berjaya menguasai lebih dua pertiga daripada 26 kerusi parlimen yang dipertandingkan.

“Saya yakin pucuk pimpinan sudah melihat formula kemenangan di peringkat negeri seperti PRN Johor dan Melaka yang lalu dan ianya berjaya membuahkan hasil. Antaranya ialah menonjolkan muka baharu supaya kita dapat memenangkan kerusi yg dipertandingkan” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Pembangunan Modal Insan ECERDC Bersama SIRIM dan Universiti Sultan Zainal Abidin di Johor Bahru, hari ini.

Beliau mengakui selain faktor calon, kejayaan pada PRU-15 kelak turut bergantung kepada kandungan manifesto dan agenda pembangunan yang ditawarkan kepada rakyat di negeri itu.

Ujarnya, kejayaan besar PRN di Johor yang lalu adalah disebabkan penampilan muka baharu yang segar dan mempunyai visi perjuangan yang lebih jelas.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri Machap itu, rakyat Johor amat mengharapkan sebuah kerajaan persekutuan yang stabil bagi membolehkan agenda pembangunan terutama dalam usaha menarik pelaburan asing dapat dilaksanakan tanpa gangguan.

Ujarnya, kejayaan Johor dalam menarik pelaburan asing FDI paling tinggi antara negeri-negeri akan menjadi indikator kepada usaha pemulihan ekonomi negara yang semakin diyakini pelabur luar negara.

Pada PRN yang lalu, BN Johor berjaya memenangi 40 daripada 56 kerusi ADUN yang dipertandingkan sekaligus berjaya menguasai lebih dua pertiga daripada 56 kerusi yang dipertandingkan.

Loading...
Terkini