comscore
Tumpuan :
Politik

Jokowi pemimpin asing pertama ucap tahniah pelantikan Anwar

KUALA LUMPUR: Pemimpin Indonesia menjadi negara pertama yang mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri ke-10.

Anwar berkongsi perkembangan itu di Facebooknya, menggambarkan hubungan Malaysia dan Indonesia sebagai sahabat sejati yang terjalin sejak sekian lama.

“Terima kasih Presiden Indonesia, Bapak Joko Widodo yang menjadi kepala negara pertama yang menghubungi saya mengucapkan tahniah.

“Saya tegaskan Indonesia adalah sahabat sejati Malaysia dan saya mengharapkan hubungan perdagangan dan perniagaan, pelaburan, budaya dan isu pekerja dapat dipertingkatkan.

“Persahabatan kedua-dua semestinya diperkukuh,” katanya yang berkongsi perkembangan itu di Facebooknya, hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri ke-10 berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil, Istana Negara, pada jam 5.06 petang.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Turut berangkat ke istiadat berkenaan adalah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Anwar, 75, yang berbaju Melayu hitam lengkap bersamping warna keemasan diiringi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Presiden PKR itu mencipta rekod dengan menamatkan penantian 24 tahun untuk bergelar Perdana Menteri.

Loading...
Terkini