comscore
Tumpuan :
Nasional

Kacau pembahagian kerusi punca PN tolak Pejuang – Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR: Mengganggu pembahagian kerusi menjelang pilihan raya negeri punca Perikatan Nasional (PN) menolak permohonan Pejuang menyertai gabungan itu.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dipetik FMT sebagai berkata, PN khuatir kemasukan parti baharu ketika dekat dengan pilihan raya akan mengganggu perbincangan yang sedang berjalan.

 

“Masa dia masuk dekat PRN … parti komponen PN sudah bincang bila terima masuk ia mungkin akan mengganggu proses perbincangan yang sedang berjalan,” katanya.

Tambahnya, Pejuang yang diasaskan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu, tidak akan beri impak besar kepada usaha ‘penyatuan ummah’ yang sering dilaungkan PAS.

“Penyatuan ummah tidak akan berlaku sebab mereka bukan parti utama sepertimana Umno atau Bersatu,” katanya.

“Walaupun Pejuang masuk pilihan raya, ia kalah hampir semua dan mereka akui hilang deposit.”

Pejuang tewas di semua kerusi yang ditandingi pada PRU-15, termasuk Dr Mahathir dan Presidennya, Mukhriz.

PN Selasa lalu mengumumkan menolak permohonan Pejuang untuk menyertai komponen itu, yang dipimpin  Presiden Bersatu,
Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Pejuang, Amiruddin Hamzah dalam reaksi kepada keputusan PN itu memberitahu partinya kecewa iltizam dan matlamat untuk tidak memecahkan undi orang Melayu tidak disambut pimpinan PN.

Tuan Ibrahim dalam pada itu tidak menolak Pejuang memohon untuk menyertai PN demi menyelamatkan beberapa kerusi DUN parti itu.

Empat kerusi DUN diwakili oleh wakil rakyat Pejuang iaitu Jitra dan Anak Bukit di Kedah serta Jeram dan Kuang di Selangor.

Mukhriz adalah ADUN Jitra.

“Saya jangka mereka tahu dengan bersendirian dia tak boleh pertahan kerusi itu maka dia cari gabungan lain,” katanya.

Justeru, Tuan Ibrahim, yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, berpendapat lebih wajar Pejuang dibubarkan dan ahlinya menyertai PAS atau Bersatu jika mahu terus memperjuangkan bangsa dan agama.

“Itu lebih baik berbanding banyakkan parti kecil kerana akhirnya ia akan menimbul masalah,” katanya.

Beliau turut menepis dakwaan penolakan Pejuang itu bermakna PN menolak agenda penyatuan ummah yang diperjuangkan PAS.

“Kalau betul-betul nak lihat dari segi kebersamaan dalam pasukan pembangkang, lebih baik masuk parti dalam PN sedia ada sebab dia asalnya dari Bersatu dan bentuk parti lain”, katanya.

Loading...
Terkini