comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] Kami mangsa pemecatan terancang Bersatu, – Ahli Parlimen Tanjung Karang

Oleh: Syafiqah Damanhuri

TANJUNG KARANG: Enam Ahli Parlimen adalah mangsa ‘pemecatan terancang’ oleh Bersatu, justeru tidak timbul soal kerusi mereka patut kosong sebagaimana dituntut parti komponen Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi berkata beliau dan rakan Ahli Parlimen berkenaan dilucutkan keahlian menerusi proses yang melanggar prinsip keadilan.

“Tindakan Bersatu terhadap saya dan lima Ahli Parlimen terlibat adalah merupakan satu tindakan yang bersifat pemecatan terancang yang bermula dari proses pindaan perlembagaan Bersatu yang jelas berniat jahat untuk memecat saya dan lima Ahli Parlimennya sendiri.

“Sedangkan .. (kami) ini masih setia dan kekal sebagai ahli serta masih duduk di blok pembangkang Dewan Rakyat,” katanya  pada sidang media di sini hari ini.

Beliau juga berkata Bersatu menafikan haknya untuk mendapat maklumat daripada parti mengenai surat yang dikeluarkan parti berkait dengan status keahlian.

“Dakwaan bahawa keahlian saya sebagai Ahli Dewan Rakyat terhenti dan berlaku kekosongan luar jangka di bawah Perkara 49 a(1) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berasas sama sekali,” ujarnya.

Jelasnya, beliau tiada perancangan untuk melakukan perbincangan lanjut dengan Bersatu kerana telah diisytihar tergugur keahlian.

“Bersatu isytihar saya tergugur keahlian, jadi tiada jalan pusing belakang baliklah,” katanya lagi.

Justeru, beliau mengharapkan kebijaksanaan Yang Di Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk membuat keputusan.

“Keputusan memang akan dibuat speaker, parti juga tidak boleh buat apa. parti hanya boleh beritahu keahlian kita terhenti atau dipecat. ini semua atas kebijaksanaan dan budi bicara speaker.

“Jadi apabila speaker ada mengeluar petua atau mengeluarkan keputusan, terserah kepada saya dan parti sama ada untuk majukan kepada jalan kedua, (iaitu) ke mahkamah.” katanya.

Untuk rekod, Tan Sri Johari perlu membuat keputusan mengenai perkara ini dalam tempoh 21 hari selepas menerima notis pemakluman daripada Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee pada 21 Jun 2024.

Datuk Dr Zulkafperi antara enam Ahli Parlimen pembangkang yang menyata sokongan kepada Perdana Menteri.

Lima yang lain ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Kesemua mereka menghantar surat penjelasan kepada Tan Sri Johari berhubung kedudukan mereka selepas digugurkan keahlian oleh Bersatu.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Mohd Azizi mencabar pengisytiharan kekosongan kerusi Dun Nenggiri yang disandangnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) menetapkan 17 Ogos depan untuk PRK DUN itu.

Selain enam Ahli Parlimen itu, keahlian Adun Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari dalam Bersatu turut terhenti susulan sokongannya terhadap Kerajaan Perpaduan Selangor.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini