comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] KDM sokong Hajiji, GRS terus terajui kerajaan Sabah

KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk terus menerajui kerajaan Sabah.

Timbalan Presiden KDM, Datuk Wetrom Bahanda, berkata sokongan parti itu selaras dengan ketetapan dan pendirian Hajiji serta GRS yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Kerajaan Perpaduan pimpinan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

Katanya, Anwar sendiri mengesahkan pendirian GRS itu pada perjumpaan khas Parti KDM bersama Perdana Menteri yang diketuai Presiden KDM, Datuk Peter Anthony, di Perdana Putra, Putrajaya, semalam.

Beliau berkata, Anwar juga menyatakan sokongan kepada Hajiji untuk terus menerajui dan mentadbir Sabah selaras dengan sokongan GRS kepada Kerajaan Perpaduan.

“Justeru itu, KDM dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti ini menyokong Hajiji dan GRS untuk terus mentadbir dan menerajui kerajaan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Semalam, Peter bersama Wetrom yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu bersama dua Ahli Parlimen Bebas, Datuk Verdon Bahanda (Kudat) dan Riduan Rubin (Tenom) berjumpa dengan Perdana Menteri di Putrajaya.

Ketika ini KDM memiliki tiga ADUN iaitu Peter (Malalap), Wetrom (Bandau) dan Datuk Juil Nuatim (Limbahau).

Wetrom berkata selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), tumpuan perlu diberikan kepada usaha membangunkan negeri dan negara serta rakyat di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.

“PRU15 baru sahaja selesai, jadi kita tidak mahu terlalu banyak berpolitik kerana sekarang adalah masanya Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Anwar yang turut sama disokong dan didokong Barisan Nasional (BN), GRS, KDM dan lain-lain parti bersama-sama membangun negara, negeri dan rakyat.

“Kini adalah masanya kita bersama-sama membangun dan membela rakyat dan negeri Sabah yang masih ketinggalan dalam banyak segi terutamanya kawasan luar bandar yang amat memerlukan pembangunan,” katanya.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS sebelum ini menzahirkan keyakinannya bahawa kerajaan negeri dan persekutuan boleh bekerjasama rapat untuk merealisasikan pelbagai aspek pembangunan, termasuk usaha mengembalikan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Semalam, Anwar dalam sidang medianya di Putrajaya memaklumkan penyertaan GRS dalam Kerajaan Perpaduan pimpinannya yang membolehkannya mencapai sokongan dua pertiga Ahli Parlimen.

Selain KDM, turut menyatakan sokongan kepada Hajiji dan kerajaan negeri pimpinannya ialah ADUN Pakatan Harapan (PH) Sabah.

Sokongan itu dinyatakan mereka ketika mengadakan kunjungan hormat terhadap Hajiji di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, semalam.

Kunjungan berkenaan diketuai ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick dan turut disertai Phoong Jin Zhe (Luyang), Jannie Lasimbang (Kapayan), Peto Galim (Inanam) dan Tan Lee Fatt (Likas). – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini