comscore
Tumpuan :
Politik

Kekuatan personaliti calon BN mampu jadikan Kemaman ‘biru ori’ – Zahid

 

Calon BN Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor di Pusat Penamaan Calon PRK Parlimen Kemaman di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman, hari ini. – Foto: NSTP

PETALING JAYA: Barisan Nasional yakin sasaran merampas kembali kerusi Parlimen Kemaman mampu dilakukan walaupun menyedari ia bukan laluan mudah.

Pengerusinya, Datuk Seri  Ahmad Zahid Hamidi, berkata selain status pengundi yang semakin bijak menilai yang terbaik untuk kesejahteraan kawasan Parlimen itu, faktor kekuatan calon diketengahkan BN juga akan turut membantu ke arah kemenangan parti.

Beliau yang juga Presiden UMNO menegaskan, sudah sampai masanya rakyat memilih wakil rakyat yang dapat berkhidmat, bukannya memilih pakatan parti yang asyik dengan percaturan politik ‘dah cukup jumlah’ yang tidak henti-henti.

“BN mengambil tanggungjawab dan sebulat suara memilih seorang calon yang mempunyai pengalaman melindungi kesejahteraan rakyat dan menjadi panglima kepada ribuan anggota untuk membela keselamatan rakyat.

“Malah, calon ditawarkan ini amat memahami sejarah Kemaman, kerana beliau membesar bersama keluarga tercinta dan telah menabur jasa di daerah Kemaman ini.

“Saya percaya dengan kekuatan personaliti yang ada pada calon dan kukuhnya Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, pastinya kemenangan Raja Mohamed Affandi nanti akan memangkin ekonomi dan kemakmuran Parlimen ini,” katanya menerusi  Facebook, hari ini.

PRK Kemaman pada 2 Disember depan menyaksikan saingan satu lawan satu.

Calon BN bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor ditentang calon PAS Datuk Seri Dr Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga  Naib Presiden parti itu dan Menteri Besar Terengganu.

PRK Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid pada PRU15.

Pada PRU15, Che Alias menang kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat 38,535 undi, Hasuni Sudin (PH) 8,340 undi dan Rosli Ab Ghani (Pejuang) 506 undi.

Zahid berkata, Terengganu memerlukan seorang pemimpin yang fokus untuk membantu mengangkat taraf ekonomi tempatan dan memikirkan kelangsungan pembangunan negeri bukan pemimpin yang menyimpan hasrat hati untuk menambah jawatan lagi.

“Biarlah wakil yang mewakili rakyat Kemaman ini dapat fokus mentadbir Parlimen dan dapat berhubung terus dengan Kerajaan Perpaduan untuk urusan kemajuan yang lebih mudah dan tersusun rapi,” katanya.

Beliau turut menasihatkan jentera BN yang akan terbabit pada PRK Kemaman supaya berkempen secara sihat serta berhemah.

“Janganlah kita terikut cara mereka yang sarat dengan caci maki dan fitnah. Insya-Allah BN mampu kembali mendominasi dan kembali menjadikan Kemaman ‘biru ori’,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini