comscore
Tumpuan :
Politik

Kelab Keluarga Malaysia jadi pemangkin perpaduan-PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. -Foto: NSTP

BERA: Kelab Keluarga Malaysia akan menjadi pemangkin kepada asas pembentukan perpaduan yang lebih kukuh melalui interaksi sihat ahli keluarga dan masyarakat berbilang kaum serta agama, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata kelab itu adalah inisiatif kerajaan untuk mempromosi konsep Keluarga Malaysia melalui penyertaan seluruh lapisan masyarakat dengan matlamat membentuk ikatan kekeluargaan melalui pelbagai aktiviti seperti sukan, pendidikan, kesihatan dan kerohanian bersama keluarga masing-masing.

“Menerusi inisiatif seperti ini, golongan belia diharap dapat memanfaatkan peluang sedia ada untuk berbakti dan memberi sumbangan kepada negara di samping memupuk nilai-nilai kekeluargaan dalam kehidupan seharian.

“Saya berharap kelab ini berupaya menjadi agen perubahan sosial dalam masyarakat dan seterusnya menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang lebih sejahtera dan harmoni selaras dengan Konsep Keluarga Malaysia,” katanya.

Teks ucapan Perdana Menteri itu dibacakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Mastura Mohd Yazid pada majlis prapelancaran Kelab Keluarga Malaysia di Dataran Kerayong di sini hari ini.

Ismail Sabri juga berkata Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) akan melancarkan kelab itu secara rasmi tidak lama lagi, melibatkan penyertaan daripada golongan pelajar dan mahasiswa seluruh negara. -BERNAMA

Loading...
Terkini