BANGI: Barisan Nasional (BN) akan meneruskan ‘politik kesederhanaan’ meskipun menunjukkan prestasi baik dalam memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota di Johor semalam.
Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, parti itu juga akan terus memberi tumpuan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 akan datang.
“Bukan hanya (tumpu) kepada Johor tetapi sekarang ini kita kena fikir persiapan ke arah Pilihan Raya Umum Ke-16.
“Jadi dengan melihat cara kita (BN) bekerja (ketika ini), keserasian itu dapat dibina di peringkat ini, dari PRK DUN Nenggiri, Kuala Kubu hingga Sungai Bakap
“Dalam erti kata lain, jangan tumpu satu negeri tetapi turut tumpu kepada negeri lain,” jelasnya.
Tambah Zambry lagi, kerjasama di peringkat Kerajaan Perpaduan disifatkannya amat baik sehingga membawa kemenangan di beberapa siri PRK
“Pertama, kerjasama di peringkat BN dan komponen BN yang bekerja dengan begitu baik sekali.
“Kedua, kerjasama dalam Kerajaan Perpadua ini kita nampak hasilnya. Kita dapat bekerja sebagai satu pasukan tanpa wujud masalah.
“Paling utama (sekarang) ialah apakah bentuk kerajaan yang nak kita bentuk. BN akan terus dengan politik kesederhanaan. Jadi (kita terbuka) kepada sesiapa saja yang nak berada dalam lingkungan politik kesederhanaan,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Ketua Pemuda Amanah , Hasbie Muda yang berharap BN terutama di Johor menubuhkan Kerajaan Perpaduan selepas kemenangan PRK DUN Mahkota.
Zambry ditemui media selepas program Jelajah Kampus MADANI ‘In Person with Doc Zam: Tips & Tricks for Freshies’ di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, petang tadi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa