comscore
Tumpuan :
Politik

Kenapa pilih saya jadi Perdana Menteri PH kalau saya seburuk itu?-Tun Dr Mahathir

 

Tun Dr Mahathir Mohamad ditemuramah selepas menyertai program Sarapan Pagi bersama penduduk Ulu Melaka dan Bayas di Langkawi

Oleh Kumaran Rajamoney

LANGKAWI: Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad menyelar tindakan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mengkritik kepemimpinan beliau ketika menjadi Perdana Menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menjelaskan ianya sekadar usaha memburukkan imej dalam siri kempen pilihan raya, Tun Dr Mahathir berkata pemilihannya memimpin PH pada PRU lalu dilakukan meskipun beliau pernah dikritik ketika menjadi Perdana Menteri Ke-4.

“Bila dia lawan dengan kita, dia akan burukkan imej kita. Terpulang kepada rakyat samada hendak percaya mereka atau tolak orang macam Rafizi ini. Sekejap dia sokong yang itu, sekejap dia sokong yang ini.”

“Dia nampak saya bertanding, dia hentam saya. Dahulu saya dibelasah teruk dengan dakwaan kononnya saya diktator, dan ada kroni. Namun, selepas saya menyertai parti mereka, saya dipilih menjadi Perdana Menteri. Kalau dia percaya saya begitu buruk, kenapa dia nak pilih saya?” katanya.

Beliau mengulas pendirian Rafizi bahawa PH tidak perlu bekerjasama dengan Tun Dr. Mahathir pada PRU-15 untuk meraih sokongan orang Melayu.

Rafizi mendakwa, bekas Perdana Menteri itu tidak membawa undi Melayu untuk gabungan itu pada PRU lalu.

Kata Rafizi, angka sokongan Melayu kepada PH tidak berubah selama beberapa bulan selepas Tun Dr Mahathir dan Bersatu menyertai gabungan itu pada 2016.

Dalam pada itu, Tun Dr Mahathir berkata Gerakan Tanah Air (GTA) yang menampilkan calon di bawah logo Pejuang pada PRU-15 mula mendapat sokongan yang signifikan.

“Mula-mula kita fikir mendapatkan angka 120 orang calon adalah mustahil. Namun, kita dapat lihat sokongannya agak baik dan kita sudah dapat masuk bertanding di kawasan yang tidak kita rancang sebelum ini.”

“Kita ada sejumlah 132 orang calon dipilih mewakili GTA setakat ini. Mungkin Kedah dilihat mendapat tumpuan dengan penampilan 5 pimpinan tertinggi Pejuang. Namun, kita juga ada wakil yang ramai di Johor dan tempat lain.”

Tun Dr Mahathir berkata demikian ketika ditemui selepas menyertai program Sarapan pagi bersama Penduduk Ulu Melaka dan Bayas di sini.

Beliau bersama Isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali kemudiannya menziarahi keluarga saudaranya Salmah Don, 62 dan Sudin Hanapiah, 72 di lokasi berhampiran.

Loading...
Terkini