comscore
Tumpuan :
Politik

PASCA PRU-15: Kenderaan pemimpin PN memasuki kediaman Muhyiddin

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

KUALA LUMPUR: Beberapa kenderaan pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) dilihat mula memasuki kediaman peribadi Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara di sini, pagi ini.

Pertemuan itu dipercayai bagi membincangkan pembentukan Kerajaan Persekutuan baharu susulan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semalam yang memberi tempoh kepada parti politik untuk membentuk kerajaan sehingga jam 2 petang ini.

Pada jam 9.50 pagi, Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilihat tiba di kediaman bekas Perdana Menteri ke-8 itu.

Kenderaan membawa kedua-dua pemimpin berkenaan memasuki pintu pagar kawasan perumahan secara serentak diiringi kenderaan pengiring.

Selang 10 minit kemudian, kenderaan membawa Pengerusi PN Perak yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tiba di lokasi sama.

Beliau sempat menurunkan tingkap kenderaan dan melambai ke arah pengamal media yang berkampung di sini sejak jam 7 pagi lagi.

Semalam Agong bertitah agar ketua parti politik dan gabungannya mengemukakan gabungan parti politik pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi membentuk kerajaan baharu.

Ini termasuklah pencalonan bakal Perdana Menteri ke-10 dilanjutkan sehingga jam 2 petang ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, titah perkenan Seri Paduka Baginda itu adalah susulan daripada permohonan daripada ketua parti politik dan gabungan parti politik yang telah diterima oleh pihak Istana Negara semalam.

Terdahulu, Datuk Seri Hamzah dalam satu kenyataan berkata, PN telah mengemukakan Surat Akuan Berkanun daripada Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Menurutnya, jumlah Surat Akuan yang dihantar adalah melebihi 112, iaitu jumlah kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat yang diperlukan untuk pelantikan Perdana Menteri di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan itu turut disokong Tan Sri Abdul Hadi yang mendakwa PN juga memperoleh jumlah sokongan Ahli Parlimen melebihi daripada majoriti yang ditetapkan.

Presiden PAS berkenaan memaklumkan gabungan berkenaan menunggu jemputan daripada Istana Negara pada bila-bila masa.

Loading...
Terkini